Australia rancang tambah pengambilan migran susulan krisis tenaga mahir

Australia rancang tambah pengambilan migran susulan krisis tenaga mahir

Menurut Biro Perangkaan Australia (ABS), terdapat 480,100 kekosongan jawatan pada Mei, peningkatan lebih 100%, berbanding Februari 2020.

Australia mempunyai tugas berat menangani krisis tenaga kerja mahir, termasuk berusaha keras melatih tenaga kerja tempatan demi mengurangkan pekerja asing, kata Menteri Kemahiran dan Latihan, Brendan O’Connor. (Gambar Freepik)
CANBERRA:
Kerajaan Australia merancang meningkatkan jumlah pengambilan pekerja migran bagi menangani kekurangan tenaga buruh disebabkan pandemik Covid-19, kata Menteri Kemahiran dan Latihan Brendan O’Connor.

Beliau berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan menaikkan had migran tahunan daripada paras semasa iaitu 160,000 kepada lebih ramai migran berkemahiran tinggi, termasuk membabitkan pengamal kesihatan dan pakar IT, lapor Xinhua.

Menurut Biro Perangkaan Australia (ABS), terdapat 480,100 kekosongan jawatan pada Mei, peningkatan lebih 100%, berbanding Februari 2020 sebelum Australia menutup sempadan antarabangsanya.

Had pengambilan migran akan dibincangkan dengan kesatuan sekerja dan kumpulan majikan di sidang kemuncak pekerjaan dan kemahiran yang akan diadakan pada September.

“Kami mempunyai tugas berat untuk menangani krisis tenaga mahir tetapi kerajaan perlu berusaha keras untuk melatih tenaga kerja tempatan dan mengurangkan pekerja asing,” kata O’Connor.

Beliau juga menegaskan sistem piawaian tidak akan digugurkan, sebaliknya perlu menggunakan pendekatan lebih canggih untuk mengukur tahap kemahiran.

“Kita menyaksikan kekurangan dalam pelbagai sektor: perdagangan tradisional, pembuatan maju, runcit, pelancongan, industri teknologi, penjagaan warga emas, doktor, jururawat,” katanya kepada akhbar Nine Entertainment pada Ahad.

O’Connor berkata, ia bukan “binary choice” (dua pilihan) antara meningkatkan migran mahir dan melatih pekerja tempatan.

Menambah jumlah pekerja migran dijangka dimuktamadkan dalam belanjawan persekutuan, yang akan dibentangkan Bendahari Jim Chalmers pada Oktober.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.