
Rajapaksa tiba di Lapangan Terbang Don Muang, Bangkok, menaiki penerbangan carter dari Singapura selepas imigresen republik itu mengeluarkan kenyataan memaklumkan beliau telah meninggalkan negara pulau itu.
Rajapaksa dijangka tinggal sementara waktu di Thailand selepas melarikan diri ke Singapura pada 14 Julai di mana beliau meletak jawatan, susulan rusuhan besar-besaran membantah krisis ekonomi terburuk negara itu dalam tempoh tujuh dekad yang turut melihat penunjuk perasaan menyerbu kediaman rasmi serta presiden.
Menurut pihak berkuasa Thailand, bekas Rajapaksa tidak akan memohon suaka politik dan tidak akan tinggal lama di negara itu.
“Ini adalah isu kemanusiaan, dan ada perjanjian bahawa ia hanya untuk sementara,” kata Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha kepada pemberita.
Tegasnya, Rajapaksa tidak boleh terlibat dengan sebarang aktiviti politik sepanjang berada di Thailand.
Menurut Menteri Luar Thailand Don Pramudwinai, kerajaan Sri Lanka menyokong Rajapaksa berada di Thailand dan menambah pasport diplomatiknya membolehkan beliau berada di negara itu selama 90 hari.
Rajapaksa tidak membuat sebarang kenyataan atau dilihat di khalayak awam sejak meninggalkan Sri Lanka.