Loji janakuasa tunggal Gaza ditutup kerana kurang bahan api

Loji janakuasa tunggal Gaza ditutup kerana kurang bahan api

Warga Gaza kini hanya mendapat akses kepada bekalan elektrik selama 4 jam sehari, berbanding 12 jam sebelum penutupan loji itu.

Disebabkan keadaan semasa dan ketidakupayaan membekalkan bahan api, loji janakuasa tunggal di Semenanjung Gaza ditutup sepenuhnya, umum Syarikat Elektrik Gaza. (Gambar AP)
GAZA:
Satu-satunya loji janakuasa di Semenanjung Gaza ditutup akibat kekurangan bahan api, menurut pihak berkuasa tenaga yang berpangkalan di Gaza pada Sabtu.

“Disebabkan keadaan semasa dan ketidakupayaan membekalkan bahan api, loji janakuasa itu ditutup sepenuhnya,” menurut Syarikat Elektrik Gaza dalam kenyataan.

Selepas pengumuman itu, rakyat Gaza hanya mendapat akses kepada bekalan elektrik selama empat jam sehari, berbanding 12 jam sebelum penutupan.

Israel baru-baru ini menutup lintasan Kerem Shalom dan Erez, iaitu laluan antara Israel dan Gaza, kerana bimbang tindak balas Gaza selepas pihak Israel menahan Bassam al-Saadi, seorang pemimpin kanan pejuang Palestin yang aktif di Gaza.

Pegawai Syarikat Elektrik Gaza Muhammad Thabet memberitahu pemberita, penggantungan operasi di stesen itu “membawa bencana” di Gaza.

“Semenanjung Gaza sudah mengalami kekurangan bekalan elektrik dan tidak dapat memenuhi keperluan penduduknya serta kemudahan.

“Tidak perlu mengaitkan isu bekalan elektrik dengan sebarang isu keselamatan atau politik,” katanya.

Semenanjung Gaza memerlukan bekalan elektrik kira-kira 550 megawatt setiap hari, manakala hanya 180 megawatt tersedia sebelum loji janakuasa itu ditutup.

Gaza juga menerima bekalan elektrik daripada Israel melalui kabel elektrik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.