
Menurut dua sumber berasingan di Colombo dan Singapura memberitahu Reuters, pas lawatan jangka pendek yang dikeluarkan ketika Rajapaksa tiba dalam lawatan peribadi dua minggu lalu dilanjutkan sehingga 11 Ogos ini.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan di Singapura tidak memberikan sebarang komen bagi mengesahkan perkara itu.
Sebelum ini, Rajapaksa tiba di Singapura pada 14 Julai lalu, sehari selepas melarikan diri dari negaranya yang dilanda krisis melalui Maldives berikutan desakan rakyat yang memaksa beliau meletakkan jawatan sebagai presiden.
Pada masa itu, kerajaan Singapura dilaporkan berkata Rajapaksa tidak diberikan suaka dan berada di negara itu untuk lawatan peribadi.
“Saya percaya dia akhirnya akan mempertimbangkan untuk kembali ke Sri Lanka tetapi tidak ada pendirian politik atau pendirian lain yang pasti mengenai perkara ini,” kata jurucakap kerajaan Sri Lanka, Bandula Gunwardena semalam.
Perdana menteri enam kali Ranil Wickremesinghe mengambil alih jawatan presiden berikutan kemenangan dalam undi parlimen selepas Rajapaksa melarikan diri dari negara itu dan meletak jawatan
Negara yang mempunyai 22 juta penduduk itu lumpuh akibat krisis ekonomi yang dahsyat selama beberapa bulan dengan kekurangan bahan api, makanan dan keperluan lain apabila rizab pertukaran asing yang diperlukan untuk import penting menurun ke paras terendah.