Rakyat Ukraine ‘mahu’ beri kerakyatan, jadikan Johnson PM

Rakyat Ukraine ‘mahu’ beri kerakyatan, jadikan Johnson PM

Petisyen bersifat gurauan itu memperoleh lebih 2,500 tandatangan beberapa jam selepas ia dimuat naik di laman petisyen rasmi Ukraine semalam.

Pelbagai lukisan, mural, dan juga kek dilihat di ibu negara Ukraine menggambarkan pemimpin itu, yang diberi nama timangan ‘Johnsoniuk’ oleh segelintir rakyat Ukraine. (Gambar AP)
KYIV:
Petisyen bersifat gurauan untuk memberikan bekas perdana menteri Britain Boris Johnson kerakyatan Ukraine dan menjadikannya perdana menteri negara itu memperoleh lebih 2,500 tandatangan beberapa jam selepas ia dimuat naik di laman petisyen rasmi Ukraine semalam.

Walaupun kehilangan populariti di negaranya sendiri dan akhirnya terpaksa mengumumkan pengunduran selepas puluhan ahli Parlimennya meletak jawatan pada awal Julai, Johnson kekal sebagai tokoh yang disanjung di Kyiv disebabkan sokongan lantangnya kepada Ukraine ketika negara itu melawan pencerobohan Rusia.

Pelbagai lukisan, mural, dan juga kek dilihat di ibu negara Ukraine menggambarkan pemimpin itu, yang diberi nama timangan “Johnsoniuk” oleh segelintir rakyat Ukraine.

Petisyen tersebut, yang ditujukan kepada Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, menyebut kelebihan Johnson, antaranya “mendapat sokongan sedunia, mempunyai pendirian yang jelas terhadap pencerobohan Ukraine, dan kearifannya dalam bidang politik, kewangan dan undang-undang”.

Secara kebetulan, beberapa jam selepas petisyen itu dikemukakan semalam, Johnson memberikan Zelensky Anugerah Kepimpinan Sir Winston Churchill untuk apa yang disifatkan oleh pejabat Downing Street sebagai “keberanian, sifat enggan mengalah, dan maruah yang luar biasa” dalam menghadapi pencerobohan Rusia.

Zelensky tidak menyebut petisyen baharu itu semasa menerima anugerahnya, tetapi beliau akan terpaksa memberi maklum balas secara rasmi jika ia memperoleh 25,000 tandatangan.

Menerima anugerah tersebut menerusi pautan video dari Kyiv, Zelensky memetik kata-kata Churchill, dengan berkata Johnson “tidak terfikir pun untuk mengalah” dalam keadaan sukar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.