
Ia berlaku pada hari sama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global.
Pegawai kesihatan Thailand berkata, pelancong berusia 27 tahun itu yang tinggal melebihi tempoh di negara gajah putih itu disahkan dijangkiti cacar monyet di Phuket pada Isnin lalu.
Ketika berada di Phuket, lelaki itu melawat dua pusat hiburan dan 142 orang sedang disaring untuk virus itu, kata pegawai kesihatan sambil menambah lelaki terbabit turut mengadakan hubungan seks tanpa perlindungan dengan seorang wanita.
Selepas mengetahui dirinya dijangkiti virus itu, warga Nigeria itu melarikan diri dari Phuket, mematikan telefonnya dan gagal membalas mesej polis atau kakitangan kesihatan.
Susulan itu, pihak berkuasa melancarkan gerakan menjejaki pesakit itu di seluruh Thailand dan isyarat telefon bimbitnya dikesan di wilayah timur laut bersempadanan Kemboja semalam.
Dia kemudiannya dikesan berada di sebuah rumah tetamu di Phnom Penh, sebelum dihantar ke Hospital Persahabatan Khmer-Soviet untuk menerima rawatan pada petang Sabtu.
“Kami merayu semua individu yang mempunyai hubungan langsung dengan pesakit Nigeria itu untuk mengasingkan diri dan menjalani pemeriksaan kesihatan,” menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Kemboja.
WHO berkata, lebih 16,000 kes cacar monyet direkodkan di 75 negara dan wilayah, dengan lima kematian dilaporkan setakat ini.