PM Thailand Prayuth sekali lagi selamat daripada undi tak percaya

PM Thailand Prayuth sekali lagi selamat daripada undi tak percaya

Beliau yang juga menteri pertahanan menerima 256 undi menyokong dan 206 menentang dengan sembilan berkecuali.

Undi tidak percaya merupakan kali keempat dihadapi Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha, sejak mengambil alih kuasa, pada 2019.
BANGKOK:
Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha dan 10 menteri kabinet lain terselamat daripada undi tidak percaya di Parlimen, hari ini.

Parti pembangkang memulakan perbahasan usul undi tidak percaya selama empat hari, pada Selasa, berhubung pelbagai isu, termasuk rasuah dan salah urus ekonomi.

Prayuth yang juga menteri pertahanan menerima 256 undi menyokong dan 206 menentang dengan sembilan berkecuali.

Pembangkang memerlukan lebih 239 daripada 477 undi parlimen untuk menggulingkan perdana menteri.

Seramai 10 menteri lain, termasuk Timbalan Perdana Menteri Prawit Wongsuwan, Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul dan Jurin Laksanawisit (Menteri Perdagangan) turut terselamat dengan margin yang selesa.

Ini adalah undi tidak percaya keempat terhadap Prayuth dan kerajaannya, sejak beliau mengambil alih kuasa, pada 2019. Ia juga merupakan ujian besar terakhir Prayuth sebelum pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 11 bulan lagi.

Sementara itu, Prayuth mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen atas sokongan mereka dan keputusan itu akan menjadi penguat semangat untuknya bekerja lebih keras demi rakyat dan negara.

“Perbahasan itu sangat bermanfaat, kerana ia akan membantu meningkatkan prestasi kerajaan pada masa hadapan, apabila beliau berjanji akan mempertimbangkan untuk melaksanakan saranan pembangkang,” lapor Thai PBS memetik Prayuth.

Sementara itu, Prayuth menafikan spekulasi mengenai rombakan kabinet susulan undi tidak percaya hari ini.

Media tempatan melaporkan bahawa parti pemerintah Palang Pracharath Party (PPRP) dan Parti Demokrat mendesak perdana menteri melakukan rombakan Kabinet.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.