Parlimen Sri Lanka undi presiden baharu hari ini

Parlimen Sri Lanka undi presiden baharu hari ini

Undian dibuat hari ini bagi memilih presiden baharu menggantikan Gotabaya Rajapaksa yang melarikan diri ke luar negara minggu lepas.

Ranil Wickremesinghe, bekas perdana menteri enam kali yang memangku jawatan presiden setelah Gotabaya Rajapaksa meletak jawatan, diperhatikan mendahului persaingan tiga penjuru bagi jawatan presiden Sri Lanka.
COLOMBO:
Parlimen Sri Lanka akan membuat undian hari ini bagi memilih presiden baharu menggantikan Gotabaya Rajapaksa, yang melarikan diri ke luar negara minggu lepas setelah kediamannya diserbu penunjuk perasaan.

Pemenang dalam saingan tiga penjuru itu bakal mewarisi negara yang muflis dan sedang berunding bagi mendapatkan suntikan kewangan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dengan 22 juta rakyatnya kekurangan bekalan makanan, minyak dan ubat yang kritikal.

Penganalisis berkata, Ranil Wickremesinghe, bekas perdana menteri enam kali yang memangku jawatan presiden mendahului persaingan itu, namun dibenci penunjuk perasaan yang melihatnya sebagai sekutu Rajapaksa.

Tunjuk perasaan selama beberapa bulan akibat krisis ekonomi memaksa Rajapaksa mengumumkan peletakan jawatan minggu lepas di Singapura, beberapa hari selepas pihak tentera menyelamatkannya dari kediaman yang dikepung.

Kejatuhannya dilihat memberi kesan besar pada kelompok yang mendominasi politik Sri Lanka sejak 20 tahun lalu, selepas abangnya turut meletak jawatan sebagai perdana menteri dan menteri kewangan awal tahun ini.

Wickremesinghe, 73, mendapat sokongan parti Rajapaksa, SLPP yang juga blok terbesar di Parlimen Sri Lanka yang memiliki 225 kerusi.

Sebagai pemangku presiden, Wickremesinghe melanjutkan tempoh darurat, yang memberi kuasa tambahan kepada polis dan pasukan keselamatan, dan mengarahkan tentera menghalau penunjuk perasaan daripada bangunan kerajaan minggu lepas.

Seorang ahli Parlimen pembangkang berkata, pendirian keras Wickremesinghe terhadap penunjuk perasaan membantu ahli Parlimen yang pernah menjadi sasaran keganasan penunjuk perasaan dan SLPP juga akan menyokongnya.

Penganalisis politik Kusal Perera juga berpandangan Wickremesinghe memiliki “sedikit kelebihan”, meskipun partinya hanya memenangi satu kerusi pada pilihan raya Ogos 2020.

“Wickremesinghe kembali diterima rakyat kelas pertengahan di bandar apabila memulihkan bekalan seperti gas, dan memulihkan situasi di bangunan kerajaan yang menunjukkan ketegasannya,” katanya.

Pemerhati percaya Wickremesinghe akan mengambil tindakan keras jika menang, manakala penunjuk perasaan yang menuntut peletakan jawatannya serta menuduhnya melindungi kepentingan Rajapaksa, akan turun ke jalanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.