
Rajapaksa yang lari ke Maldives pada Rabu susulan bantahan besar-besaran terhadap peranan keluarganya dalam krisis ekonomi negara itu, dilaporkan menaiki penerbangan ke Singapura menaiki pesawat Arab Saudi, menurut individu yang maklum dengan keadaan itu.
Penumpang pesawat itu yang enggan dinamakan turut memberitahu Reuters, Rajapaksa disambut sekumpulan pengawal keselamatan dan dilihat meninggalkan ruang VIP lapangan terbang dengan menaiki konvoi kereta hitam.
Kementerian luar negara Singapura berkata, Rajapaksa tiba di negara itu untuk lawatan peribadi dan tidak memohon atau diberikan suaka.
Rajapaksa masih belum meletak jawatan walaupun telah berjanji untuk berbuat demikian sebelum Rabu.
Keputusannya pada Rabu untuk melantik sekutunya Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe sebagai pemangku presiden mencetuskan lebih banyak protes dengan penunjuk perasaan menyerbu parlimen serta pejabat pemimpin itu, mendesak supaya beliau turut meletak jawatan.
“Kami mahu Ranil balik,” kata Malik Perera, pemandu beca berusia 29 tahun yang turut menyertai protes di Parlimen, hari ini.
“Mereka telah menjual negara kita. Kami mahukan pemimpin yang baik mengambil alih dan sehingga itu tidak akan berhenti (membantah).”
Bantahan terhadap krisis ekonomi sejak beberapa bulan akhirnya “meletup” pada hujung minggu lalu apabila ribuan orang menyerbu bangunan kerajaan di Colombo kerana menyalahkan keluarga Rajapaksa dan sekutu mereka atas kadar inflasi teruk, kekurangan barangan keperluan asas, dan rasuah.
Orang ramai memenuhi kediaman presiden hari ini dan dilihat meneliti koleksi seni, kereta mewah serta kolam renang di premis itu. Bagaimanapun, lokasi yang lazim menjadi tempat perhimpunan penunjuk perasaan tenang hari ini, malah kediaman presiden dan perdana menteri diserahkan semula kepada kerajaan pada lewat Khamis.
Kerajaan melaksanakan perintah berkurung di Colombo dari tengah hari Khamis hingga awal pagi Jumaat dalam usaha meredakan keadaan. Media tempatan menyiarkan gambar askar menaiki kereta perisai meronda ibu negara itu.
Pihak tentera berkata, askar diberi kuasa menggunakan kekerasan untuk melindungi orang ramai dan harta benda awam.
Sementara itu, sidang parlimen yang sepatutnya diadakan pada Jumaat telah ditangguhkan, sebaliknya pemimpin pembangkang akan bermesyuarat untuk memutuskan tindakan seterusnya, menurut kenyataan pejabat Speaker.
Parlimen dijangka menamakan presiden baharu pada 20 Julai. Sumber parti pemerintah memberitahu Reuters, Wickremesinghe menjadi pilihan utama parti itu, manakala pilihan utama pembangkang ialah Sajith Premadasa yang juga anak salah satu bekas presiden negara itu.