
Golongan ekspatriat Sri Lanka membawa papan tanda dan bendera mengutuk Rajapaksa, yang melarikan diri dari negaranya hari ini selepas kediamannya di Colombo diserbu penunjuk perasaan pada hujung minggu lalu.
“Wahai rakan-rakan di Maldives, tolonglah gesa kerajaan kamu untuk tidak melindungi penjenayah,” menurut satu kain rentang dipaparkan rakyat Sri Lanka yang bekerja di Maldives.
Media tempatan menyiarkan video yang tidak dapat disahkan, menunjukkan Rajapaksa diherdik ketika keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Velana sebaik tiba menaiki pesawat tentera.
Polis merampas papan tanda dan menyuraikan penunjuk perasaan, kata saksi.
Laporan tempatan membayangkan Rajapaksa menginap di sebuah resort eksklusif, dan bakal meneruskan perjalanan ke UAE atau Singapura hari ini.
“Beliau akan hidup dalam buangan di salah satu lokasi itu,” kata sumber keselamatan Sri Lanka di Colombo.
“Pasti sukar menjamin keselamatannya kerana ramai masyarakat Sri Lanka di kedua-dua lokasi berkenaan.”
Parti Progressive, pembangkang utama Maldives, membantah laluan bebas diberikan kepada Rajapaksa yang menghadapi beberapa kes mahkamah termasuk dakwaan jenayah perang.
“Kita mengkhianati rakan-rakan di Sri Lanka apabila menerima Rajapaksa, orang yang begitu dibenci di negara itu,” kata seorang pemimpin PPM kepada AFP.
Sri Lanka dan Maldives mempunyai hubungan rapat, dengan sejumlah besar rakyat kedua-duanya hidup dan bekerja di dua negara berkenaan.