Harga gandum tinggi: India kurangkan eksport tepung

Harga gandum tinggi: India kurangkan eksport tepung

Direktorat Perdagangan Luar berkata, pengeksport tepung perlu mendapat kelulusan kerajaan untuk mengekalkan kualiti dan menstabilkan harga domestik.

India telah melarang semua eksport gandum tanpa kelulusan kerajaan pada Mei. (Gambar Freepik)
NEW DELHI:
India akan mengurangkan eksport tepung dalam usaha memelihara pasaran tempatannya daripada krisis gandum yang melanda dunia.

Eksport gandum disekat pada Mei untuk memelihara bekalan makanan kebangsaan susulan kekurangan bekalan dunia dan harga yang melonjak akibat krisis Rusia-Ukraine.

Direktorat Perdagangan Luar berkata, pengeksport tepung perlu mendapat kelulusan kerajaan untuk mengekalkan kualiti dan menstabilkan harga domestik.

“Gangguan bekalan gandum dan tepung gandum global mewujudkan pemain baharu yang mengakibatkan harga tidak menentu selain kemungkinan kualiti terjejas,” kata badan pengawal itu dalam notis dikeluarkan semalam.

“Sehubungan itu, adalah penting untuk mengekalkan kualiti eksport tepung gandum dari India.”

India melarang semua eksport gandum tanpa kelulusan kerajaan pada Mei, yang mengakibatkan lonjakan harga dan kritikan negara lain.

Russia dan Ukraine bersama-sama membekalkan hampir suku daripada bekalan gandum dunia. Bagaimanapun, perang antara dua negara itu menjejaskan rantaian bekalan seterusnya menyebabkan kekuranga bekalan di seluruh dunia.

Gandum adalah antara tanaman bijirin utama India, yang juga negara pengeluar kedua terbesar selepas China.

India menghasilkan 109 juta tan gandum tahun lalu, tetapi hanya mengeksport sekitar tujuh juta tan.

Gelombang haba pada Mac dan April menyebabkan hasil gandum turun kira-kira 5% seterusnya mencetuskan kebimbangan kekurangan bekalan dalam pasaran tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.