Sri Lanka tarik pelancong India untuk pulih sektor pelancongan yang terjejas

Sri Lanka tarik pelancong India untuk pulih sektor pelancongan yang terjejas

Sri Lanka kini sedang bergelut dengan krisis kewangan terburuk dalam tujuh dekad.

Sri Lanka menyaksikan peningkatan berterusan 61,951 pelancong India menjadikan angka itu paling ramai jika dibandingkan dengan negara asing lain. (Gambar AP)
COLOMBO:
Sri Lanka bakal melancarkan jelajah ke lima bandar utama di India sebagai usaha menarik lebih ramai pelancong ke negara itu bagi membawa masuk lebih mata wang asing di tengah-tengah krisis yang melanda negara berkenaan, kata menteri pelancongan negara itu hari ini.

Cukup dikenali dengan destinasi pelancongan meliputi kawasan berbukit, pantai yang bersih dan bandar tepian pantai yang tenang, Sri Lanka kini sedang bergelut dengan krisis kewangan terburuk dalam tujuh dekad.

Sebahagian krisis didorong salah urus ekonomi dan pandemik Covid-19 sehingga menjejaskan industri pelancongan yang selama ini menjana keuntungan negara itu.

Negara dengan populasi 22 juta orang itu ketika ini berdepan matawang tidak mencukupi, terutama untuk mengimport barang keperluan sehingga menyebabkan kekurangan ubat-ubatan, makanan dan bahan api.

Di sebalik kegawatan, industri pelancongan Sri Lanka menyaksikan peningkatan berterusan 61,951 pelancong India menjadikan angka itu paling ramai jika dibandingkan dengan negara asing lain.

Jumlah itu direkodkan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, sekali gus mendorong kerajaan untuk menarik lebih ramai pelancong India ke negara berkenaan.

“Sri Lanka perlu mempunyai keuntungan pelancongan untuk hidup di dalam krisis ini. Itu diperlukan,” kata menteri pelancongan, Harin Fernando kepada pemberita.

Justeru, Fernando berkata, Kementerian Pelancongan Sri Lanka akan mengadakan jelajah di lima bandar utama di India bertujuan merancakkan lagi pelancongan perniagaan dan percutian, selain menjadi destinasi perkahwinan pilihan.

“India adalah pasaran teramat penting untuk kami,” katanya.

Pada hujung tahun ini, Fernando berharap negara itu akan merekodkan sekitar sejuta pelancong berbanding 200,000 orang tahun lalu.

Unjuran itu dibuat meskipun ketika beberapa negara termasuk Britain mengeluarkan nasihat kepada warganegara masing-masing supaya hanya melakukan perjalanan penting ke Sri Lanka.

“Kami yakin musim sejuk nanti akan menjadi baik,” kata Fernando.

Kehabisan bahan api di Sri Lanka memaksa kerajaan melanjutkan penutupan sekolah seluruh negara, selain mengarahkan kakitangan awam bekerja dari rumah.

Kerajaan Sri Lanka akan membentangkan pelan penstrukturan hutang kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Ogos depan.

Ia sebagai langkah mustahak buat negara itu untuk mendapatkan USD3 bilion sebagai dana bagi membiayai program meletakkan ekonomi negara itu kembali ke landasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.