Gelombang haba dijangka landa utara China 2 minggu lagi

Gelombang haba dijangka landa utara China 2 minggu lagi

Fenomena cuaca panas melampau itu membabitkan tempoh empat hingga enam hari.

Gelombang haba menjejaskan lebih separuh penduduk China bulan lalu (Gambar Reuters)
BEIJING:
Gelombang haba diramalkan melanda utara China dalam tempoh dua minggu akan datang, dengan lebih 250 juta penduduk di beberapa wilayah berkenaan dijangka berdepan suhu melebihi 40 darjah celsius.

Menurut Timbalan Ketua Pusat Meteorologi Negara (NMC), Fang Xiang, berkata fenomena cuaca panas melampau itu membabitkan tempoh empat hingga enam hari.

Ia membabitkan wilayah Xinjiang, Inner Mongolia dan Ningxia serta wilayah Hebei, Henan, Gansu dan Shaanxi yang akan menyaksikan suhu lebih daripada 40 darjah celsius.

China sebelum ini berhadapan cuaca keterlaluan pada musim panas ini dengan gelombang haba melanda utara negaranya dan hujan lebat serta banjir di selatan.

Kerajaan menyalahkan perubahan iklim, yang dikatakan akan semakin menjejaskan ekonomi dan masyarakat.

Pada Jun, gelombang haba menjejaskan hampir separuh daripada penduduk China.

“Sebahagian daripada kuasa beban grid utara China menyaksikan paras tertinggi baharu bulan lalu hingga menjejaskan bekalan tenaga.

“Suhu tinggi yang berpanjangan akan menyebabkan kesan ketara kepada pengeluaran dan kehidupan termasuk meningkatkan tekanan kepada bekalan kuasa,” kata Fang.

“Risiko kebakaran hutan dan ia turut dijangkakan memberi kesan kepada pertumbuhan stabil tanaman seperti padi, kapas dan jagung,” katanya pada sidang media.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran, keadaan seperti kemarau dijangka menjejaskan tanaman di Shandong, Anhui, Henan, Shaanxi dan Gansu.

Pada sidang akhbar sama, pegawai cuaca, Wang Yawei, memaklumkan, pada bulan lalu, suhu purata China adalah yang tertinggi sejak 1961

Katanya, ia juga 0.9 darjah celsius lebih tinggi berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Bulan lalu, wilayah Henan dan Jiangsu yang mempunyai populasi keseluruhan lebih 180 juta, mencatatkan rekod penggunaan tenaga harian baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.