Hakim Louisiana sekat sementara larangan pengguguran baharu

Hakim Louisiana sekat sementara larangan pengguguran baharu

Hakim mahkamah daerah negeri di New Orleans itu mengeluarkan perintah menghalang pelaksanaan tiga undang-undang berasingan yang akan berkuat kuasa susulan keputusan Mahkamah Agung Jumaat lepas.

Penunjuk perasaan memprotes sekatan hak pengguguran di Utah State Capitol, Salt Lake City pada Jumaat. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Seorang hakim Louisiana menyekat penguatkuasaan undang-undang baharu yang melarang pengguguran kandungan susulan keputusan Mahkamah Agung mengakaskan penghakiman Roe lwn Wade yang menamatkan hak terhadap prosedur itu di peringkat persekutuan.

Hakim di mahkamah daerah negeri di New Orleans itu mengeluarkan perintah menghalang pelaksanaan tiga undang-undang berasingan menyekat pengguguran yang akan berkuat kuasa susulan keputusan Mahkamah Agung pada Jumaat.

Langkah itu adalah sebagai respons kepada tuntutan mahkamah oleh salah satu daripada tiga penyedia perkhidmatan pengguguran di negeri tersebut, Hope Medical Group for Women, dan kumpulan hak pro-pengguguran Medical Students for Choice.

Tuntutan itu mencabar undang-undang yang diluluskan dengan jangkaan bahawa Mahkamah Agung akan mengakaskan penghakiman Roe lwn Wade yang dibuat hampir lima dekad lepas, yang mengatakan perlembagaan Amerika Syarikat melindungi hak wanita untuk menggugurkan kandungan.

Plaintif berhujah bahawa tiga larangan “trigger” itu (berkuat kuasa secara automatik apabila penghakiman Roe lwn Wade diakas) bersifat samar-samar kerana tidak secara khusus menyatakan kelakuan yang dilarang, atau bila ia dilarang.

“Tiada proses untuk menentukan bahawa mana-mana satu larangan ‘trigger’ itu sebenarnya telah berkuat kuasa,” menurut tuntutan itu.

Ia merujuk pegawai negeri dan tempatan yang mengeluarkan kenyataan bercanggah pada Jumaat mengenai mana antara tiga undang-undang itu berkuat kuasa dan bagaimana ia akan dikuatkuasakan, jika ada.

Bagaimanapun, undang-undang “trigger” itu memaksa tiga penyedia perkhidmatan pengguguran di negeri itu menghentikan kerja mereka buat sementara.

Hakim tersebut mengeluarkan perintah sekatan sementara terhadap pelaksanaan ketiga-tiga undang itu sebelum pendengaran pada 8 Julai, di mana kumpulan-kumpulan yang mendukung tuntutan itu berharap untuk mendapatkan injunksi kekal.

Salah satu daripada kumpulan tersebut, The Centre for Reproductive Rights berkata, perkhidmatan pengguguran akan diteruskan di Louisiana buat masa ini.

Di Utah, Planned Parenthood berkata, sebuah mahkamah telah mengeluarkan perintah sekatan sementara terhadap larangan pengguguran pada 2020 yang berkuatkuasa selepas keputusan Mahkamah Agung minggu lepas.

Larangan serupa dijangka dilaksanakan di 26 daripada 50 negeri di AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.