
Gempa bumi dengan magnitud 6.1 melanda Afghanistan di wilayah terpencil di tenggara negara itu berhampiran sempadan Pakistan pada Rabu minggu lalu, menyebabkan sekurang-kurangnya 1,000 orang maut, 2,000 cedera dan 10,000 rumah musnah.
Mangsa yang maut termasuk 155 kanak-kanak, manakala hampir 250 golongan itu turut cedera dan 65 kehilangan ibu bapa.
“Mangsa di tempat terjejas merayu wang, mereka telah menerima cukup bantuan lain,” kata timbalan ketua Persatuan Bulan Sabit Merah Afghanistan (ARCS) Mullah Noordden Turaby dalam sidang media di Kabul.
Bencana itu menjadi ujian besar untuk pemimpin Taliban Afghanistan yang dipulau banyak negara kerana isu hak asasi manusia sejak ia merampas kuasa tahun lalu.
Tambahan, sekatan terhadap badan kerajaan dan bank Afghanistan menjejaskan bantuan langsung ke negara yang sedia menghadapi krisis kemanusiaan itu sejak sebelum gempa melanda lagi.
Bagaimanapun, PBB dan beberapa negara telah menghantar bantuan ke kawasan terjejas. Turaby berkata, ARCS tiada tempat untuk menyimpan stok makanan, manakala bekalan khemah sudah mencukupi.
Sebaliknya, katanya, bantuan tunai akan lebih membantu mangsa terselamat, malah ARCS bersedia mengagihkan wang itu sekiranya ada pihak yang bimbang mengenai ketelusan prosesnya.
Pejabat bantuan kemanusiaan PBB semalam melaporkan masalah kekurangan khemah tidak lagi berlaku, dan kini pelbagai barangan bantuan termasuk kit kebersihan, wang tunai dan makanan sedang diagihkan kepada mangsa.
Bagaimanapun, katanya, beberapa masalah logistik masih wujud termasuk dari segi komunikasi disebabkan rangkaian telefon bimbit terjejas manakala keadaan jalan yang buruk.