
Josef Schuetz, orang tertua dibicarakan bagi jenayah perang dilakukan Nazi ketika Perang Dunia Kedua, dituduh terlibat dengan pembunuhan 3,518 tahanan di kem Sachsenhausen di Oranienburg, antara 1942 hingga 1945.
Schuetz yang kini menetap di Brandenburg mengaku tidak bersalah sepanjang perbicaraannya dengan menegaskan dia langsung tidak terlibat dan tidak tahu mengenai jenayah yang dilakukan di kem itu.
“Saya tidak tahu kenapa saya berada di sini,” katanya sekali lagi pada akhir perbicaraannya.
Schuetz yang berkerusi roda menegaskan dia bercakap benar.
Bagaimanapun, menurut pendakwa dia “sengaja dan rela” terlibat dalam perbuatan jenayah ketika menjadi pengawal kem itu dan memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara lima tahun.
Peguamnya Stefan Waterkamp berkata memandangkan tiada gambar menunjukkan dia memakai seragam SS, kes itu hanya berdasarkan “andaian” terhadap penglibatannya.
“Seawal 1973 penyiasat mempunyai maklumat mengenainya tetapi tidak melakukan apa-apa. Ketika itu mungkin ada saksi yang boleh memberi keterangan tetapi kini mereka semua sama ada sudah mati atau tidak lagi mampu bercakap,” katanya.
Sementara itu, Antoine Grumbach, 80, yang bapanya maut sebagai tahanan di Sachsenhausen memberitahu AFP Schuetz “tidak mahu ingat” apa yang telah dilakukannya.
Beliau turut menegaskan perbicaraan telah membuktikan Sachsenhausen digunakan sebagai “kem pembunuhan eksperimen”.
“Semua kaedah (pembunuhan) paling kejam dicipta di situ,” katanya.
Mahkamah dijangka memberi keputusannya esok.