100 orang awam terbunuh, ketua PBB kutuk serangan di Mali

100 orang awam terbunuh, ketua PBB kutuk serangan di Mali

António Guterres kutuk sekeras-kerasnya serangan kumpulan pelampau terhadap beberapa kampung di wilayah Bandiagara di Mali Tengah.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres. (Gambar AP)
NEW YORK:
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres, pada Selasa, mengecam pembunuhan lebih 100 orang awam dalam serbuan pengganas di Mali, kata jurucakapnya.

“Bersama rakan-rakan kami dalam misi pengaman, kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan kumpulan pelampau ke atas beberapa kampung di wilayah Bandiagara di Mali Tengah,” kata Ketua Jurucakap Guterres, Stephane Dujarric.

Menurut Minusma, misi pengaman PBB di Mali, serangan pada hujung minggu itu sudah meragut nyawa lebih 100 orang awam dan beberapa rumah serta kedai musnah terbakar, lapor Xinhua.

Serangan juga berlaku di beberapa kawasan di wilayah Gao di Mali, menyebabkan berpuluh-puluh orang awam terbunuh dan memaksa penduduk melarikan diri.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan rakyat Mali dan kami mendoakan agar mereka yang cedera segera pulih,” kata Dujarric.

Pasukan bersepadu dari Minusma, yang beroperasi dari Mopti, membantu pihak berkuasa wilayah melawat kawasan yang dilanda keganasan. Atas permintaan tentera Mali, misi pengaman PBB turut membantu dalam pemindahan orang awam yang cedera ke bandar Sevare, katanya.

Dujarric berkata, berikutan mandat Majlis Keselamatannya, misi itu bersedia untuk menyokong pihak berkuasa negara, membantu penduduk dan mengukuhkan keselamatan, dengan penyelarasan rapat dengan tentera Mali termasuk menerusi rondaan darat dan udara.

Jurucakap itu menambah bahawa Minusma akan meneruskan tindakannya untuk menyokong menstabilkan kawasan tengah Mali.

Mali adalah antara negara termiskin di dunia yang terletak di pinggir selatan Sahara di rantau Afrika Barat. Baru-baru ini, Mali dan beberapa negara lain di Sahel diancam dengan serangan oleh puak ekstremis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.