
Aberdeen Restaurant Enterprises mengumumkan dalam kenyataan bahawa restoran tersebut terbalik pada Ahad berhampiran Kepulauan Paracel selepas ia berdepan keadaan laut yang buruk dan mula tenggelam.
“Kerja-kerja menyelamat amat sukar dijalankan memandangkan kedalaman air di tempat kejadian lebih 1,000m,” tambahnya.
Tiada ahli kru tercedera dalam “kejadian yang menyedihkan” itu, kata syarikat itu.
Katanya, jurutera marin telah diupah untuk memeriksa restoran terapung itu dan memasang adangan pada kapal sebelum perjalanan tersebut. “Semua kelulusan berkaitan” telah diperolehi, tambahnya.
Restoran itu ditutup pada Mac 2020, apabila ia tidak dapat mengatasi impak wabak Covid-19 setelah hampir sedekad berdepan masalah kewangan.
Pengendalinya, Melco International Development bulan lepas berkata, perniagaan itu tidak menguntungkan sejak 2013 dan kerugian terkumpul melebihi HKD100 juta.
Penyelenggaraannya masih menelan belanja berjuta-juta setiap tahun dan kira-kira sedozen perniagaan dan organisasi telah menolak pelawaan untuk mengambil alihnya secara percuma, tambah Melco.
Diumumkan bulan lepas bahawa menjelang tarikh luput lesennya pada Jun, restoran Jumbo akan meninggalkan Hong Kong dan menunggu pengendali baharunya di suatu lokasi yang tidak didedahkan.
Ia mula berlayar sejurus sebelum tengah hari Selasa lepas dari lokasi ia berlabuh selama hampir setengah abad, sebuah tempat perlindungan taufan di selatan Hong Kong.
Dibuka pada 1976 oleh hartawan kasino, mendiang Stanley Ho, ia menjadi simbol kemewahan pada zaman kegemilangannya, dilaporkan menelan kos HDK30 juta untuk dibina.
Direka bentuk seperti istana empayar China dan pernah dianggap sebagai mercu tanda yang mesti dilihat, antara pengunjungnya termasuk Ratu Elizabeth II dan Tom Cruise.
Ia turut dipaparkan dalam beberapa filem, termasuk “Contagion” karya Steven Soderbergh, yang mengisahkan wabak global yang membawa maut.