Puluhan maut, cedera dalam serangan di pasar

Puluhan maut, cedera dalam serangan di pasar

Serangan dilaporkan berlaku di sebuah bazar di Nangarhar, yang membunuh dan mencederakan puluhan orang awam termasuk kanak-kanak, kata Misi Bantuan PBB di Afghanistan di Twitter.

Anggota Taliban dilihat di lokasi letupan di depan sebuah kuil Sikh di Kabul pada Sabtu. (Gambar AP)
KABUL:
Misi PBB ke Afghanistan melaporkan puluhan orang terbunuh dan cedera dalam serangan di sebuah pasar yang sibuk di wilayah Nangarhar, timur negara itu hari ini.

Pegawai Taliban bagaimanapun hanya mengesahkan 10 kecederaan dalam kejadian itu.

“Unama mengecam serangan pagi tadi di sebuah bazar yang sibuk di Nangarhar yang membunuh dan mencederakan puluhan orang awam termasuk kanak-kanak,” kata Misi Bantuan PBB di Afghanistan (Unama) di Twitternya.

“Serangan yang menyasarkan orang awam di Afghanistan mesti dihentikan segera.”

Quriashi Badloun, ketua pentadbir media dan penerangan nangarhar, mengesahkan letupan berlaku tetapi berkata sasarannya tidak jelas.

“Memang ada 10 kecederaan tetapi kami tidak mengesahkan berlaku kematian,” katanya.

Sejak kembali berkuasa pada Ogos, Taliban berkata kawalan keselamatan telah ditingkatkan, seterusnya menghapuskan ancaman militan di negara itu.

Bagaimanapun, penganalisis dan badan antarabangsa menganggap masih ada risiko serangan militan tetap berlaku, malah Islamic State turut mengaku bertanggungjawab atas beberapa serangan sejak beberapa minggu lalu.

Serangan berdarah dilihat berlaku di negara itu sejak Jumaat termasuk satu di sebuah kuil Sikh di Kabul pada Sabtu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.