
Bercakap kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva, Michelle Bachelet berkata pejabatnya “menyiasat dakwaan bahawa kanak-kanak diambil secara paksa di Ukraine untuk dihantar ke Persekutuan Rusia.”
Ini dilaporkan turut merangkumi kanak-kanak yang “diambil dari rumah anak yatim dan ditawarkan sebagai anak angkat di Rusia,” katanya.
Beliau berkata, pejabatnya tidak dapat mengesahkan dakwaan itu, mahupun jumlah kanak-kanak terlibat.
“Kami bimbang dengan dakwaan perancangan pihak berkuasa Rusia untuk membenarkan penyerahan kanak-kanak dari Ukraine kepada keluarga di Persekutuan Rusia.
“Lebih-lebih lagi nampaknya tiada langkah-langkah untuk membolehkan mereka disatukan semula dengan keluarga asal atau mengambil kira kepentingan kanak-kanak itu. Kami akan terus memantau isu itu,” katanya.
Ribuan golongan muda dipercayai telah dipindahkan ke Rusia sejak Moscow melancarkan serangan besar-besarannya di Ukraine pada 24 Feb.
PBB mula menyuarakan kebimbangan pada Mac mengenai kemungkinan kanak-kanak Ukraine dijadikan anak angkat secara paksa.
Ini terutama melibatkan kira-kira 91,000 yang berada di institusi atau asrama penuh ketika perang bermula dengan kebanyakannya berada di timur negara itu yang dilanda konflik.
Asfhan Khan, pengarah serantau Tabung Kanak-kanak PBB (Unicef) untuk Eropah dan Asia Tengah berkata, pengambilan anak angkat tidak boleh dilakukan ketika waktu kecemasan, atau sejurus selepasnya.
Katanya, kanak-kanak seperti itu tidak boleh diandaikan adalah anak yatim, dan “sebarang keputusan untuk mengalihkan kanak-kanak mesti mengambil kira kepentingan mereka, selain perlu dengan kehendak mereka, selain ibu bapa juga perlu memberikan keizinan.”