Musim haji bermula, Arab Saudi longgarkan langkah keselamatan Covid

Musim haji bermula, Arab Saudi longgarkan langkah keselamatan Covid

Tindakan itu dalam pada Arab Saudi bersedia menyambut kira-kira 850,000 jemaah dari luar negara, dengan kumpulan pertama telahpun tiba di situ dari Indonesia lebih seminggu lalu.

Pelitup muka masih wajib dipakai di Masjidilharam. (Gambar AP)
RIYADH:
Arab Saudi mengumumkan pada Isnin bahawa pelitup muka tidak lagi diwajibkan di kebanyakan kawasan tertutup dalam langkah melonggarkan lagi peraturan berkaitan wabak menjelang musim haji bulan depan.

Tindakan itu dalam pada Arab Saudi bersedia menyambut kira-kira 850,000 jemaah dari luar negara, dengan kumpulan pertama telahpun tiba di situ dari Indonesia lebih seminggu lalu – yang pertama sejak wabak Covid-19 melanda.

Pelitup muka masih wajib dipakai di dalam Masjidilharam di Makkah serta Masjid Nabawi di Madinah, menurut laporan disiarkan pada Isnin oleh agensi berita rasmi, Saudi Press Agency yang memetik sumber kementerian dalam negeri.

“Pelitup muka tidak lagi diwajibkan di dalam kawasan tertutup, namun pemilik premis boleh mengarahkan penggunaannya jika mereka mahu,” menurut laporan itu.

Arab Saudi turut tidak mewajibkan orang ramai menunjukkan bukti telah divaksin ketika meminta memasuki kawasan tertutup.

Pada 2021, wabak virus korona memaksa pihak berkuasa Arab Saudi mengurangkan bilangan jemaah untuk tahun kedua berturut-turut, dengan hanya 60,000 rakyat serta penduduk negara itu yang telah divaksin penuh dibenarkan mengerjakan haji.

April lalu, Arab Saudi mengumumkan akan membenarkan sejuta umat Islam dari dalam dan luar negara mengerjakan haji tahun ini. Namun haji tahun ini dihadkan untuk umat Islam bawah usia 65 tahun yang telah divaksin penuh, kata kementerian haji.

Sejak wabak melanda, Arab Saudi merekodkan lebih 778,000 kes Covid-19 dengan lebih 9,100 kematian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.