
Protes dianjurkan pertubuhan March For Our Lives, yang diasaskan pelajar yang terselamat daripada kejadian serangan beramai-ramai di sebuah sekolah di Parkland, Florida pada 2018.
Di Washington DC, penunjuk perasaan berkumpul di kawasan National Mall, sambil membawa sepanduk tertera “Kawal senjata api sekarang,” “Tamatkan keganasan senjata api,” “Cukup setakat ini,” dan “Lindungi kanak-kanak, bukan senjata api.”
Datuk Bandar Muriel Bowser turut menyampaikan ucapan kepada orang ramai di sekitar Monumen Washington, meminta Kongres melaksanakan undang-undang “yang masuk akal” untuk memerangi keganasan senjata api.
Tunjuk perasaan dianjurkan di seluruh negara sebagai tindak balas terhadap insiden tembakan terbaru di sebuah sekolah rendah di Uvalde, Texas dan serangan bersenjata bersifat perkauman di Buffalo, New York.
Presiden AS Joe Biden berulang kali menggesa Kongres supaya meluluskan undang-undang senjata api lebih ketat bagi mengurangkan keganasan di seluruh negara.
Minggu ini, sebuah akta diluluskan bertujuan mencegah keganasan senjata api, yang mensyaratkan had umur dibenarkan membeli senapang automatik dinaikkan daripada 18 kepada 21 tahun.
Selain di ibu negara, tunjuk perasaan juga diadakan di New York, Los Angeles, Chicago, Boston dan bandar-bandar lain.
Sekurang-kurangnya 255 insiden tembakan besar-besaran terjadi di AS tahun ini, menurut Arkib Keganasan Senjata.