Mahkamah Israel pertahan penjualan tanah gereja

Mahkamah Israel pertahan penjualan tanah gereja

Organisasi Ateret Cohanim yang mahu “meyahudikan” Israel, merampas kawasan timur Baitulmaqdis dan membeli tiga bangunan milik Gereja Greek Orthodox dalam perjanjian yang dimeterai secara rahsia pada 2004.

Seorang paderi memerhatikan pintu Gereja Holy Sepulchre di kota lama Baitulmaqdis. (Gambar AFP)
BAITULMAQDIS:
Mahkamah tertinggi Israel memutuskan satu kumpulan penjajah Yahudi telah membeli secara sah hartanah di timur Baitulmaqdis milik Gereja Greek Orthodox, seterusnya menamatkan pertelingkahan hampir dua dekad.

Organisasi Ateret Cohanim yang mahu “meyahudikan” Israel, telah merampas kawasan timur Baitulmaqdis dan membeli tiga bangunan dari gereja berkenaan dalam satu perjanjian kontroversi yang dimeterai secara rahsia pada 2004.

Jualan itu mencetuskan kemarahan orang Palestin dan mengakibatkan Patriarch Irineos I dipecat pada tahun berikutnya. Gereja itu kemudian memfailkan kes terhadap Ateret Cohanim kerana mendakwa hartanah berkenaan dibeli secara haram dan tanpa izinnya.

Dalam keputusannya semalam, Mahkamah Agung Israel menolak rayuan gereja itu dan berkata, dakwaan salah laku oleh pihak-pihak terbabit dalam perjanjian asal “dibuktikan tidak benar” dalam prosiding terdahulu.

Gereja menyelar keputusan itu sebagai tidak adil dan tiada asas logik dari segi undang-undang, selain mengecam Ateret Cohanim sebagai “organisasi radikal” yang menggunakan “kaedah haram dan tidak jujur untuk membeli hartanah Kristian di lokasi penting di Baitulmaqdis.

Peguam yang mewakili gereja berkenaan, Asaad Mazawi, memberitahu AFP: “Kejadian ini melibatkan kumpulan ekstremis yang mahu mengambil hartanah milik gereja, mahu mengubah karakter di kota lama dan menyerang kawasan Kristian.

“Mereka malangnya berjaya kerana disokong Israel.”

Gereja Greek Orthodox adalah gereja yang terbesar dan terkaya di Baitulmaqdis dengan hartanah yang berusia ratusan tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.