Indonesia tangguh naikkan bayaran masuk ke kuil Borobudur

Indonesia tangguh naikkan bayaran masuk ke kuil Borobudur

Pihak berkenaan akan berbincang beberapa langkah dalam menguruskan pelancong yang ingin mendaki ke kuil itu, termasuk mengehadkan kuota pelancong.

Pada masa ini, bayaran masuk ke kompleks Borobudur, Tapak Warisan Dunia Unesco di Jawa Tengah ialah USD$25 dan USD$5 masing-masing untuk pelancong asing dan tempatan. (Gambar Bernama)
JAKARTA:
Kerajaan Indonesia menangguhkan rancangan untuk menaikkan bayaran masuk ke Kuil Borobudur yang diumumkan sebelum ini, kata Gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo.

Beliau berkata pihak berkenaan akan membincangkan secara menyeluruh beberapa langkah dalam menguruskan pelancong yang ingin mendaki ke kuil, termasuk menaikkan harga tiket, dan mengehadkan kuota pelancong.

Ganjar berkata demikian dalam kenyataan selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan Luhut Pandjaitan pada Selasa.

Pada Sabtu, Luhut berkata cadangan untuk menaikkan harga tiket adalah sebahagian usaha untuk memulihara kuil yang rosak akibat vandalisme serta memastikannya bersih dan bebas sampah.

Bayaran masuk akan dinaikkan kepada USD$100 (USD$1=RM4.39) untuk pelancong asing dan USD$71 bagi pelancong tempatan.

Pada masa ini, bayaran masuk ke kompleks Borobudur, Tapak Warisan Dunia Unesco di Jawa Tengah ialah USD$25 dan USD$5 masing-masing untuk pelancong asing dan tempatan.

Pelbagai reaksi diterima daripada orang ramai, sebilangan besar mengalu-alukan langkah berkenaan, memandangkan ia dapat menjana dana tambahan untuk kerja-kerja menyelenggara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.