
Menurut WFP, di kawasan yang tidak dapat dilalui lori besar, satu versi platform teknologi Uber yang dibina khas untuk menyelaraskan, menghantar dan menjejak kumpulan kenderaan yang lebih kecil.
Dalam kenyataan, WFP berkata bantuan makanan telah diedarkan di Dnipro, manakala bekalan juga sedang dihantar di ibu negara, Kyiv, selain Lviv, Vinnytsia dan Chernivtsi.
“Menerusi platform ini, WFP dapat membawa makanan lebih dekat kepada mereka yang memerlukannya, dengan penghantaran dibuat menggunakan kenderaan pelbagai saiz.
“Setiap perjalanan juga dijejak sehingga destinasinya, seterusnya mengesahkan penghantaran telah dibuat dengan selamat,” katanya.
Dalam kenyataan itu, ketua pegawai eksekutif Uber Dara Khosrowshahi menambah, syarikat berkenaan memberikan akses kepada platformnya itu secara percuma.
“Menggunakan teknologi kami, WFP kini boleh menjadualkan, menghantar, menjejak dan menguruskan penghantaran menggunakan rangkaian kereta dan van kecil ke titik penghantaran akhir dalam jarak 100km dari gudang-gudang WFP di seluruh negara,” katanya.
Serangan Rusia terhadap Ukraine pada lewat Februari mencetuskan konflik yang meragut nyawa ribuan orang dan memaksa jutaan yang lain meninggalkan kediaman mereka. Sebahagian besar negara itu juga mengalami kemusnahan akibat perang.
Menurut WFP, menjelang hujung Jun badan itu akan memberikan makanan dan wang kepada lebih tiga juta orang setiap bulan di Ukraine.