
Dalam satu kenyataan hari ini, MOH memaklumkan bahawa pengembara itu tiba di Sydney pada 3 Jun dan disahkan positif cacar monyet.
“Beliau berlepas dari Barcelona pada 1 Jun dan tiba di Lapangan Terbang Changi pada 2 Jun,” katanya.
“Beliau berada di kawasan transit di Lapangan Terbang Changi sebelum meneruskan perjalanan ke Sydney pada hari sama, dan tidak melawat kawasan lain di Lapangan Terbang Changi.”
Memandangkan pengembara tersebut tidak masuk ke Singapura atau berinteraksi dengan sesiapa dalam komuniti, buat masa ini tiada risiko penularan komuniti yang ketara, tambahnya.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak MOH telah menjalankan pengesanan kontak untuk dua penerbangan yang terjejas dan mereka yang mungkin bersentuhan dengan pengembara itu di kawasan transit.
MOH memutuskan tiada keperluan untuk kuarantin memandangkan tiada kontak rapat selepas penilaian dibuat.
“Bagaimanapun, kami akan memantau 13 orang yang mungkin mempunyai kontak kasual selama 21 hari,” menurut kementerian itu.
Bawah pemantauan itu, mereka yang terlibat akan menerima panggilan telefon setiap hari untuk memastikan status kesihatan sehingga tamat tempoh pengawasan.
“Jika mereka melaporkan simptom yang menunjukkan jangkitan cacar monyet, mereka akan dinilai dari segi perubatan dan mungkin dihantar ke Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan untuk penilaian lanjut.”