
Hubungan dua seteru itu semakin tegang susulan penangguhan perjanjian nuklear yang bertujuan memastikan Iran tidak dapat membangunkan senjata seumpama itu.
Israel menentang keras perjanjian 2015 itu, dan berazam melakukan apa saja untuk menghalang Iran memperoleh bom nuklear.
“Kami sentiasa berlatih dan bersedia untuk sebarang senario termasuk ancaman dari Iran,” kata tentera Israel.
Puluhan pesawat pejuang tentera udara Israel melakukan latihan di Laut Mediterranean selain kapal peluru berpandu dan flotila kapal selam turut melakukan latihan rumit di Laut Merah, menurut kenyataan.
Perjanjian nuklear Iran tergendala sejak 2018 apabila AS di bawah presidennya ketika itu, Donald Trump, menarik diri dan meletakkan sekatan terhadap republik Islam itu.
Perbincangan berkaitan perjanjian itu masih tergantung, dan Iran semalam memberi amaran bertindak balas terhadap sebarang “tindakan tidak konstruktif” yang diambil badan pemerhati atom PBB, selepas agensi itu mendakwa terdapat kesan bahan nuklear di lokasi yang tidak diisytiharkan di Iran.
Minggu lalu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa PBB mengumumkan ia menganggarkan stok uranium diperkaya Iran meningkat lebih 18 kali ganda had yang ditetapkan dalam perjanjian 2015 itu.