‘Rapper’ India ditembak mati

‘Rapper’ India ditembak mati

Sidhu Moose Wala ditembak kira-kira 30 kali oleh suspek menaiki dua atau tiga kereta di Punjab, dalam kejadian dipercayai berkaitan kumpulan gengster.

Penduduk kampung berhimpun di luar kediaman Sidhu Moose Wala berhampiran Mansa, Punjab. (Gambar AP)
NEW DELHI:
Seorang penyanyi rap India yang ramai peminat di negara itu malah turut terkenal di Kanada dan Britain, ditembak mati berhampiran perkampungannya dalam kejadian dikaitkan dengan kumpulan gengster.

Menurut polis, Shubhdeep Singh Sidhu – atau dikenali sebagai Sidhu Moose Wala yang mempunyai 11 juta pengikut di YouTube selain jutaan peminat – ditembak kira-kira 30 kali oleh suspek menaiki dua atau tiga kereta di Punjab, petang semalam.

Viresh Kumar Bhawra, ketua polis negeri menyifatkan “kejadian seperti pergaduhan melibatkan kumpulan gengster. Tambahnya, gengster berpangkalan di Kanada dikenali sebagai Goldy Brar mengakui bertanggungjawab melakukan serangan itu bagi pihak geng Lawrence Bishnoi.

Bhawra yang dipersoal kerana mengurangkan pasukan pengawal Sidhu minggu lalu, berkata mangsa tidak membawa pengawal peribadinya atau memandu kenderaan kalis pelurunya ketika kejadian.

Moose Wala, 28, mempunyai ramai peminat dalam kalangan pemuda Punjabi, dengan video-video yang “menyerang” penyanyi lain dan ahli politik. Beliau turut memaparkan dirinya sebagai pejuang maruah masyarakatnya yang membawa keadilan dan menghapuskan saingannya.

Beliau malah bertanding sebagai calon dalam parti Kongres awal tahun ini, namun kalah. Usahanya menceburi bidang politik mencetuskan kritikan hasil kerjanya dengan saingannya menuduhnya menyokong penggunaan senjata api, semangat nasionalisme Sikh dan budaya gengster.

Penyanyi rap Kanada, Drake memuat naik gambar Sidhu bersama ibunya di Instagram dengan menyuarakan rasa terkejut atas kejadian itu.

Ketua menteri Punjab Bhagwant Mann hari ini mengumumkan pembentukan suruhanjaya kehakiman dan berjanji pelaku kejadian itu akan dihukum.

Punjab merupakan laluan transit utama untuk dadah yang memasuki India dari Afghanistan serta Pakistan, dan isu itu menjadi debat politik panas sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ramai yang mengaitkan perdagangan narkotik – lazimnya melibatkan heroin dan candu – dengan peningkatan keganasan berkaitan geng serta penggunaan senjata api haram di negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.