Penembak serang sekolah rendah di AS, 19 kanak-kanak, 2 guru maut

Penembak serang sekolah rendah di AS, 19 kanak-kanak, 2 guru maut

Ini adalah insiden tembakan terburuk di sekolah Amerika Syarikat dalam tempoh hampir sedekad.

Anggota polis mengadakan rondaan susulan insiden tembakan di Sekolah Rendah Robb di Uvalde, Texas pada Selasa. (Gambar AP)
TEXAS:
Seorang remaja lelaki membunuh sekurang-kurangnya 19 kanak-kanak dan dua orang dewasa di sebuah sekolah rendah Texas pada Selasa.

Ini adalah insiden tembakan terburuk di sekolah Amerika Syarikat dalam tempoh hampir sedekad.

Gabenor, Greg Abbott berkata, suspek dikenali sebagai Salvador Ramos, 18, yang kemudiannya ditembak mati oleh polis.

Dua anggota polis turut cedera dalam kejadian itu, tetapi kecederaan mereka tidak serius.

Motif serangan itu belum diketahui, tetapi suspek bertindak bersendirian.

Reuters melaporkan suspek turut menembak neneknya sebelum melarikan diri dari tempat kejadian dan melancarkan serangan berdarah di Sekolah Rendah Robb di bandar Uvalde, Texas, kira-kira 130km barat San Antonio.

Susulan tragedi itu, Presiden AS, Joe Biden mengarahkan bendera dikibarkan separuh tiang sehingga waktu senja Sabtu ini.

Pada awalnya, timbul kekeliruan berhubung angka korban dan Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan rasmi memaklumkan keseluruhan 18 kanak-kanak dan dua orang dewasa, termasuk penembak itu maut.

Jurucakap Jabatan Keselamatan Awam Texas kemudian memberitahu CNN, 19 kanak-kanak dan dua orang dewasa maut, tidak termasuk penembak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.