
Bandar itu melaporkan ratusan kes jangkitan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini melibatkan varian Omicron, iaitu yang tertinggi sejak wabak bermula.
Jutaan orang diarahkan bekerja dari rumah, manakala kebanyakan perkhidmatan bas serta kereta api bawah tanah telah digantung.
Ribuan lagi orang dikerahkan menjalani kuarantin di hotel selepas hanya beberapa kes jangkitan dikesan di kawasan kediaman mereka.
Yu Luming, bekas ketua suruhanjaya kesihatan perbandaran, dipecat dari jawatan itu menurut laporan agensi berita Xinhua.
Yu disyaki melakukan “pelanggaran serius disiplin dan undang-undang, dan kini menjalani tindakan disiplin serta siasatan,” lapor Xinhua tanpa memberikan butiran lanjut.
China terus mengamalkan dasar sifar Covid dengan melaksanakan “lockdown” dan sekatan pergerakan tegas di beberapa bandar, walaupun kebanyakan negara di dunia telah melakukan peralihan untuk membiasakan diri hidup bersama virus itu.
Banyak taman, restoran, sekolah dan kedai di ibu negara itu masih ditutup.