Pakistan larang import barangan ‘tidak perlu’, jimat tukaran asing

Pakistan larang import barangan ‘tidak perlu’, jimat tukaran asing

Pada Khamis nilai satu dolar US adalah 200 rupee berbanding 182 rupee pada sebulan yang lalu.

Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif berkata keputusan beliau untuk melarang import barangan mewah dapat menjimatkan tukaran asing negara. (Gambar Reuters)
NEW DELHI:
Kerajaan Pakistan melarang import barangan “tidak perlu” dalam usahanya untuk menjimatkan tukaran asing memandangkan nilai mata wang jatuh mendadak berbanding dolar US sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Pada Khamis nilai satu dolar US adalah 200 rupee berbanding 182 rupee pada sebulan yang lalu.

“Keputusan saya untuk melarang import barangan mewah dapat jimatkan tukaran asing negara,” kata Perdana Menteri Shehbaz Sharif.

Barangan itu termasuk kereta, telefon bimbit, peralatan rumah, pinggan mangkuk, bagasi, syampu, peralatan mandian, daging sejuk beku, rokok, alat solek dan muzik.

Menteri Penerangan Marriyum Aurangzeb berkata terdapat “situasi kecemasan” dan rakyat Pakistan perlu mengurangkan kebergantungan terhadap produk import.

Beliau berkata defisit perdagangan di Pakistan sudah berada pada tahap serius.

“Kami mempunyai kapasiti dan pengalaman untuk menyelesaikan isu ekonomi semasa. Langkah yang diambil untuk larang barangan import bertujuan menstabilkan ekonomi,” kata Marriyum dalam satu sidang media pada Khamis.

Beliau berkata larangan import barangan bukan keperluan itu dapat menjimatkan USD$6 bilion setahun dan meningkatkan industri pembuatan domestik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.