Pembaca berita wanita perlu ‘sorok’ wajah, kata Taliban

Pembaca berita wanita perlu ‘sorok’ wajah, kata Taliban

Mereka bagaimanapun boleh memakai pelitup muka seperti digunakan sejak wabak Covid-19 bermula.

Seorang anggota Taliban mengawal keadaan ketika orang menunggu mendapatkan bantuan makanan di Kabul pada 10 Mei. (Gambar AP)
KABUL:
Pihak berkuasa Taliban di Afghanistan meminta stesen televisyen memastikan pembaca berita wanita bagi stesen tempatan menutup wajah mereka ketika bersiaran, kata pegawai pada Khamis.

Tindakan itu susulan arahan pihak berkuasa supaya wanita menutup wajah mereka di khalayak ramai, seperti diwajibkan dalam dasar Taliban pada masa lalu, yang dilihat sebagai peningkatan sekatan terhadap rakyatnya yang mencetuskan kemarahan di dalam dan luar negara.

“Semalam kami menemui pegawai media… mereka gembira menerima nasihat kami,” kata Akif Mahajar, jurucakap kementerian maksiat dan kebajikan Taliban kepada Reuters.

“Tarikh akhir untuk pembaca berita televisyen wanita berbuat demikian adalah pada 21 Mei.”

Beliau tidak mengulas akibatnya jika “nasihat” itu tidak dipatuhi.

Ramai wanita Afghanistan memilih untuk berhijab tetapi amalan menutup muka bukan sesuatu yang biasa dilakukan di kawasan bandar seperti Kabul. Ketika pemerintahan Taliban sebelum ini dari 1996 hingga 2001, wanita diwajibkan memakai burqa.

Mahajar berkata, pembaca berita wanita boleh memakai pelitup muka seperti digunakan sejak wabak Covid-19 bermula.

Seorang pekerja stesen televisyen tempatan wanita yang enggan dinamakan memberitahu Reuters, pegawai Taliban datang ke pejabatnya pada Rabu.

“Hari ini (Khamis) jabatan penerbitan memakai pelitup muka, tetapi balai berita beroperasi seperti biasa,” katanya.

Ada rangkaian televisyen yang sudahpun mula melaksanakan peraturan baharu itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.