Mahu lindungi barangan suci, kumpulan mohon sekat Muslim masuk masjid

Mahu lindungi barangan suci, kumpulan mohon sekat Muslim masuk masjid

Kumpulan haluan kanan Hindu fail petisyen menghalang umat Islam memasuki Masjid Shahi Eidgah sehingga mahkamah membuat keputusan berkaitan pencarian barangan suci Hindu dipercayai berada di lokasi itu.

Orang Islam berbuka puasa pada hari pertama Ramadan di Masjid Makkah di Hyderabad, bulan lalu. (Gambar AP)
LUCKNOW:
Anggota kumpulan haluan kanan Hindu di utara India memfailkan petisyen bagi menghalang umat Islam memasuki sebuah masjid bersejarah sehingga mahkamah membuat keputusan berkaitan pencarian barangan suci Hindu yang mungkin berada di lokasi itu.

Hakim mahkamah tempatan di Mathura, bandar suci di Uttar Pradesh membenarkan petisyen berkenaan. Bagaimanapun, pada masa sama perbicaraan melibatkan satu lagi permohonan yang difailkan pada 2020 masih bermula, iaitu berkaitan permohonan membuat penggambaran dan survei di dalam Masjid Shahi Eidgah yang dibina pada kurun ke-17.

“Kami mengesyaki simbol suci Hindu akan dibuang dari Masjid Shahi Eidgah dan disebabkan itu mahu mahkamah menggantung kemasukan Muslim ke situ,” kata peguam Mahendra Pratap.

Terdahulu bulan ini, satu lagi mahkamah tempatan di negeri itu membenarkan satu pasukan masuk membuat pemeriksaan dan merakam sebuah masjid di Varanasi, bandar purba yang juga kawasan pilihan raya perdana menteri Narendra Modi.

Anggota kumpulan haluan kanan Hindu yang menyokong parti Modi percaya penjajah Muslim memusnahkan kuil Hindu sepanjang pemerintahan 200 tahun. Ada yang mempercayai patung dewa Hindu masih ada dalam masjid yang dibina susulan kemusnahan kuil.

Dakwaan patung dewa ditemui di dalam masjid di Varanasi sebelum ini mencetuskan kumpulan Hindu di negeri-negeri di selatan dan barat India mendesak supaya pemeriksaan dilakukan di masjid lain. Bagaimanapun kumpulan Muslim mendakwa satu ukiran air pancur digembar-gemburkan untuk mencetuskan ketegangan antara dua agama itu.

Susulan itu, pemimpin kumpulan politik dan agama Islam berazam terus berjuang di mahkamah terhadap kumpulan yang cuba menggugat kesucian masjid dan tempat suci.

“Kita tidak akan membiarkan mereka menghina agama dan masjid kami,” kata ahli parlimen dari parti Islam tempatan, Asaduddin Owaisi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.