
KM Sirimau terkandas dua hari dengan 784 penumpang dan 55 anak kapal selepas tersangkut di laluan perairan Nusa Tenggara Timur itu.
Memandangkan kapal itu tidak menunjukkan tanda-tanda bocor, operasi menyelamat memfokuskan terhadap usaha melepaskan feri berkenaan untuk membolehkannya meneruskan pelayaran, dan bukannya memindahkan semua yang berada di atasnya.
Bagaimanapun, usaha melepaskan kapal itu menggunakan bot penunda setakat ini tidak berjaya, kata ketua agensi mencari dan menyelamat Maumere kepada Kompas TV pada Rabu.
Pihak berkuasa kini menunggu kapal tunda dihantar syarikat perkapalan PT Pelni sampai pada Khamis. Sekiranya usaha itu turut gagal, semua penumpang akan dipindahkan, kata pegawai berkenaan.
“Usaha menunda hanya boleh dilakukan ketika air pasang. Jika operasi ini gagal kami akan memindahkan penumpang ke pelabuhan terdekat,” kata Sudayana dengan menambah semua penumpang dalam keadaan sihat.
Kemalangan melibatkan kapal dan bot kerap berlaku di Indonesia, yang terdiri daripada lebih 17,000 pulau kecil di mana orang ramai perlu bergantung kepada perkhidmatan itu untuk perjalanan mereka, walaupun tahap keselamatan rendah.
Kira-kira 160 orang maut apabila feri penumpang karam di Tasik Danau Toba, Sumatera pada 2018 manakala lebih 300 dianggarkan lemas pada 2009 apabila feri karam antara pulau Sulawesi dan Borneo.