Gereja kecam polis Israel ‘serbu’ pengebumian wartawan

Gereja kecam polis Israel ‘serbu’ pengebumian wartawan

Kejadian Jumaat lalu itu melihat polis bersenjatakan cota memukul pengiring keranda Shireen Abu Akleh, disiarkan secara langsung di seluruh dunia dan mencetuskan semula kemarahan terhadap penembakannya.

Pelajar mengusung keranda olok-olok dalam majlis pengebumian simbolik diadakan bagi memperingati Shireen Abu Akleh di Universiti Al-Azhar di Mughraqa, Tebing Barat, hari ini. (Gambar AP)
BAITULMAQDIS:
Organisasi mewakili 12 denominasi Kristian hari ini mengecam tindakan polis antirusuhan Israel menyerbu majlis pengebumian wartawan al Jazeera Palestin beragama Kristian, yang disifatkan melanggar hak kebebasan beragama.

Orang ramai, antaranya turut membawa bendera Palestin, mengiring keranda Shireen Abu Akleh dari Hospital Saint Joseph ke Gereja Annunciation of the Virgin ketika polis menyerbu mereka.

Kejadian Jumaat lalu itu yang turut melihat polis bersenjatakan cota memukul pengiring keranda itu, disiarkan secara langsung di seluruh dunia dan mencetuskan semula kemarahan terhadap kejadian tembak yang meragut nyawa wartawan Al Jazeera itu.

Tindakan polis adalah “serangan dan pelanggaran serius norma serta peraturan antarabangsa, termasuk hak asasi untuk kebebasan beragama,” kata kenyataan hospital memetik kumpulan Christian Churches of the Holy Land.

Polis yang menyalahkan “ratusan perusuh” sebagai punca keganasan, turut berkata akan menyiasat kejadian.

Israel dan Palestin terus bertelagah mengenai pembunuhan Abu Akleh di Jenin pada Rabu minggu lalu.

Palestin menuduh Israel menyasarkan pembunuhannya dan menggesa maklum balas antarabangsa. Israel bagaimanapun menafikan perkara itu, sebaliknya mendakwa kejadian tidak disengajakan akibat askar atau penembak Palestin berbalas tembakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.