Bekas PM Sri Lanka berlindung di pangkalan tentera laut

Bekas PM Sri Lanka berlindung di pangkalan tentera laut

Mahinda Rajapaksa diterbangkan ke pangkalan tentera laut Trincomalee atas sebab keselamatan, dipindahkan ke lokasi dikehendakinya, sebaik keadaan di negara itu kembali normal.

Bekas presiden Sri Lanka dari 2005 dan 2015 Mahinda Rajapaksa mengangkat sumpah semula sebagai perdana menteri pada 2019, meletak jawatan pada Isnin ketika keganasan meletus di negara itu. (Gambar AFP)
COLOMBO:
Bekas Perdana Menteri Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa diterbangkan ke pangkalan tentera laut Trincomalee atas sebab keselamatan, lapor Xinhua memetik Setiausaha Pertahanan Kamal Gunaratne pada Rabu.

Beliau berkata, bekas perdana menteri itu akan dipindahkan ke lokasi yang dikehendakinya, sebaik keadaan di negara itu kembali normal.

Gunaratne berkata, tentera akan terus memastikan keselamatan Rajapaksa kerana sebagai bekas presiden beliau berhak mendapat perlindungan keselamatan seumur hidup.

Rajapaksa, berkhidmat sebagai Presiden Sri Lanka dari 2005 dan 2015 dan mengangkat sumpah semula sebagai perdana menteri pada 2019, meletak jawatan pada Isnin ketika keganasan meletus di negara itu.

Sementara itu, syarikat petroleum milik kerajaan Ceylon Petroleum Corporation pada Rabu mengumumkan pengedaran bahan api dihentikan sementara berikutan keadaan keselamatan semasa dan perintah berkurung di negara itu.

Beberapa insiden keganasan berlaku di negara itu selepas kumpulan prokerajaan bertempur dengan penunjuk perasaan antikerajaan pada Isnin, menyebabkan lapan orang maut dan lebih 200 yang lain cedera.

Perintah berkurung di seluruh negara dikenakan pada Isnin dan dilanjutkan beberapa kali sehingga pagi Khamis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.