
Marcos mengekalkan skor keutamaan pengundi sebanyak 56%, menurut tinjauan Pulse Asia, membabitkan 2,400 orang dari 16 hingga 21 April, yang diterbitkan hari ini.
Datuk Bandar Davao Sara Duterte, yang juga anak perempuan Presiden Rodrigo Duterte, mendahului persaingan untuk jawatan naib presiden dengan skor 55%, berbanding 56% pada Mac.
Di Filipina, pilihan raya bagi naib presiden dijalankan secara berasingan daripada pemilihan presiden.
Kedua-dua anak daripada keluarga presiden ini, yang terdahulu dilihat sebagai pencabar kuat bagi jawatan presiden, bergabung tenaga pada November, dengan Sara Duterte memberi laluan kepada Marcos. Pakatan mereka melonjakkan pencalonan masing-masing.
Kemenangan mereka akan menyerlahkan kekuatan dua dinasti yang telah mendominasi politik negara Asia Tenggara itu. Bagi Marcos, kemenangan kali ini akan menandakan kebangkitan politik muktamad keluarga itu.
Keluarga Marcos Jr hidup dalam buangan di Hawaii sejak 1986 selepas revolusi “Kuasa Rakyat” menggulingkan bapanya, yang memimpin negara selama 20 tahun, separuh daripadanya menerusi pemerintahan diktator yang terkenal dengan penyalahgunaan hak asasi manusia dan rasuah. Keluarga Marcos kembali ke negara itu pada 1991 dan cuba mencapai semula kedudukan politiknya.
Naib Presiden Leni Robredo menduduki tempat kedua dalam undian presiden dengan skor 23%, turun 1% berbanding Mac.
Ikon tinju dan senator Manny Pacquiao mendapat 7%, meningkat daripada 6%.
Sokongan untuk datuk bandar Manila yang terkenal, Isko Moreno, berkurangan separuh kepada 4% berbanding tinjauan sebelumnya.
Dalam persaingan naib presiden, Presiden Senat Tito Sotto menerima 18% sokongan, manakala Francis Pangilinan, rakan bertanding Robredo, memperoleh 16%.
Filipina akan mengadakan pilihan raya umum minggu depan dengan lebih 18,000 jawatan dipertandingkan, daripada presiden hingga ahli majlis bandaran.