Tentera Ukraine mula latihan di UK, Britain tingkat sokongan ketenteraan

Tentera Ukraine mula latihan di UK, Britain tingkat sokongan ketenteraan

Anggota tentera Ukraine memulakan latihan dengan kenderaan peronda berperisai yang disumbangkan oleh Britain bulan ini, menurut jurucakap Boris Johnson.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dan Perdana Menteri Britain Boris Johnson semasa pertemuan mereka di Kyiv pada 9 April. (Gambar AP)
LONDON:
Sebilangan kecil tentera Ukraine sedang dilatih di Britain buat pertama kalinya sejak pencerobohan Rusia bermula di kala Perdana Menteri Britain Boris Johnson meningkatkan sokongan ketenteraannya bagi negara yang sedang bergolak itu.

Anggota tentera Ukraine memulakan latihan dengan kenderaan peronda berperisai yang disumbangkan oleh Britain bulan ini, menurut jurucakap Johnson.

Britain menyumbang 120 kenderaan peronda berperisai, termasuk Mastiff, yang boleh digunakan sebagai kenderaan peninjau atau peronda. Jurucakap itu berkata, Britain bersama sekutunya menyediakan jenis peralatan baharu bagi tentera Ukraine yang mungkin tidak pernah mereka gunakan sebelum ini.

“Wajar bagi mereka mendapat latihan yang diperlukan untuk memanfaatkannya sebaik mungkin,” kata jurucakap itu.

“Kami sentiasa sedar tentang sebarang tindakan yang dianggap sebagai peningkatan (tindakan ketenteraan) tetapi jelas apa yang meningkat adalah tindakan rejim (Vladimir) Putin.”

Johnson berada di barisan hadapan dalam usaha untuk membekalkan peralatan ketenteraan kepada Ukraine sejak perang bermula di negara itu.

Pemimpin Britain itu menjalin hubungan rapat dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, kerap berhubung melalui telefon dan melawatnya di Kyiv.

Bulan ini, pegawai kerajaan Ukraine melawat sebuah kem tentera Britain di Dataran Salisbury, di mana mereka ditunjukkan demonstrasi peralatan, diikuti dengan perbincangan tentang bagaimana senjata boleh dibekalkan.

Tentera Britain melatih tentera Ukraine sejak perampasan Crimea pada 2014. Mereka berundur pada Februari untuk mengelak konflik langsung dengan tentera Rusia dan kemungkinan Nato dilibatkan dalam konflik itu.

Sejak perang bermula, Britain menyediakan Ukraine dengan senjata anti-kapal, anti-pesawat dan anti-kereta kebal ringan, yang terbukti berguna bagi pejuang Ukraine untuk mengatasi kenderaan berperisai Rusia.

Tentera Amerika Syarikat juga sedang melatih tentera Ukraine menggunakan artileri howitzer, manakala Britain turut melatih warga Ukraine di Poland menggunakan senjata anti-pesawat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.