Polis buru suspek disyaki tembak 10 penumpang kereta api bawah tanah Brooklyn

Polis buru suspek disyaki tembak 10 penumpang kereta api bawah tanah Brooklyn

Suspek 'berkulit hitam dan berbadan besar' itu dilaporkan memakai topeng gas sebelum meletupkan bom asap dan melepaskan tembakan ke arah para penumpang.

Pegawai polis meronda stesen kereta api bawah tanah di New York susulan kejadian yang menyaksikan sebilangan penumpang tercedera dan ditembak pada pagi Selasa. (Gambar AP)
BROOKLYN:
Seorang lelaki sedang diburu kerana disyaki menembak 10 orang pada pagi Selasa di dalam kereta api bawah tanah yang sesak di Brooklyn.

Suspek dilaporkan memakai topeng gas sebelum meletupkan bom asap dan melepaskan tembakan ke arah para penumpang yang ketakutan.

Polis berkata, kejadian itu tidak disiasat sebagai satu tindakan keganasan, tanpa sebarang petunjuk kepada motif pada peringkat ini. Tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan yang dianggap mengancam nyawa.

Pada sidang media, Pesuruhjaya Jabatan Polis New York (NYPD) Keechant Sewell berkata, penembak yang disyaki itu memakai topeng gas sebaik sahaja kereta api tiba di stesen 36th Street.

“Dia kemudian membuka kanister di dalam begnya dan kemudian koc itu dipenuhi asap. Selepas itu, dia mula menembak,” kata Sewell.

Jabatan bomba bandar itu berkata, tujuh orang lagi cedera apabila para penumpang yang panik bergegas keluar daripada koc kereta api dipenuhi asap yang berhenti di platform sejurus selepas tembakan berlaku.

Sewell menyifatkan suspek sebagai seorang “lelaki kulit hitam berbadan besar dengan ketinggian kira-kira lima kaki lima inci”, memakai jaket keselamatan berwarna hijau dan baju panas berwarna kelabu.

Polis dimaklumkan mengenai kejadian itu sejurus sebelum 8.30 pagi.

Rakaman video sahih yang dimuat naik di media sosial menunjukkan kereta api memasuki stesen 36th Street, dan asap berkepul-kepul keluar daripada pintu apabila penumpang bergegas meninggalkan koc, dengan beberapa individu dilihat cedera.

Turut dilihat dalam rakaman video lain adalah para penumpang membantu mangsa berlumuran darah yang terbaring di platform yang penuh dengan asap, manakala kakitangan kereta api mengiringi penumpang-penumpang lain yang panik.

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden menyatakan penghargaan kepada petugas barisan hadapan pertama dan orang awam yang “tidak teragak-agak untuk membantu penumpang”.

Beliau berkata, pasukannya sedang bekerjasama dengan pegawai di New York, dan mereka “tidak akan berputus asa selagi pelakunya tidak ditemui”.

NYPD menggesa saksi agar menghubungi talian tip dengan sebarang maklumat, manakala Gabenor New York Kathy Hochul menjanjikan kemas kini secara berkala ketika siasatan berjalan.

Kejadian tembakan di New York City meningkat tahun ini, dan peningkatan dalam jenayah ganas menggunakan senjata api menjadi tumpuan utama Datuk Bandar Eric Adams sejak beliau menyandang jawatan pada Januari.

Sehingga 3 April, kejadian tembakan meningkat kepada 296 daripada 260 dalam tempoh yang sama tahun lepas, menurut statistik polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.