Guru agama maut ditembak di Pattani

Guru agama maut ditembak di Pattani

Polis menemui sekurang-kurangnya 10 kelongsong peluru di lokasi kejadian yang berada tidak jauh dari rumah mangsa.

Guru agama itu meninggal dunia di hospital akibat kecederaan di bahagian dada serta perut selepas ditembak. (Gambar AFP)
PATTANI:
Seorang guru agama maut ditembak ketika menaiki motosikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pattani, selatan Thailand pada awal pagi Ahad.

Lelaki berusia 52 tahun itu merupakan guru di sekolah agama Al-Islamiah Wittaya.

Ketua Polis Daerah Nong Chik, Komkrit Srisong berkata, dalam kejadian kira-kira 12:30 pagi (waktu tempatan) itu, polis menemui sekurang-kurangnya 10 kelongsong peluru di tempat kejadian yang terletak tidak jauh dari rumah mangsa.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian dada dan perut dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia di hospital,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, polis sedang menyiasat motif kejadian tembakan itu dan mengesan suspek terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.