
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Taweesin Visanuyothin berkata, di bawah cadangan itu, pengembara yang telah menerima vaksin Covid-19 tidak lagi perlu menjalani saringan RT-PCR dan menempah hotel yang ditetapkan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, katanya pelancong perlu melakukan ujian antigen kendiri di lapangan terbang.
Beliau berkata, CCSA “pada dasarnya bersetuju” dengan langkah itu namun bergantung kepada kelulusan.
“CCSA akan menyemak cadangan kelonggaran selepas cuti Songkran minggu depan,” katanya selepas taklimat harian CCSA di sini hari ini.
Pada masa ini, di bawah program ‘Test & Go’ tanpa kuarantin, pengembara perlu menempah hotel yang ditetapkan lebih awal, serta melakukan saringan RT-PCR pada hari pertama ketibaan dan ujian ATK pada hari kelima.
Taweesin berkata, CCSA turut bersetuju dengan cadangan untuk mengurangkan perlindungan insurans kesihatan serta mengurangkan jumlah dokumen yang diperlukan semasa mendaftar untuk Pas Thailand.
Sementara itu, Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha berkata, mulai Mei juga kerajaan akan melonggarkan lagi sekatan perjalanan bagi ketibaan pelancong yang menggunakan laluan darat dan udara.