
Tentera Myanmar mengetuai tindakan keras terhadap mereka yang berbeza pendapat selepas mengambil alih pentadbiran dalam rampasan kuasa tahun lalu, yang mencetuskan kekacauan sosial dan memburukkan lagi krisis ekonomi.
Orang awam yang menubuhkan kumpulan mengisytiharkan diri mereka sebagai ‘Pasukan Pertahanan Rakyat’, bangkit memerangi junta dengan penentang turut menyasarkan pegawai yang didapati bekerja dengan tentera.
Timbalan Gabenor, Than Than Swe, yang dilantik tentera beberapa hari selepas rampasan kuasa, ditembak oleh penyerang tidak dikenali di rumahnya di Yangon, kata jurucakap junta Zaw Min Tun, kepada AFP lewat hari ini.
“Wanita itu ditembak pagi tadi sekitar 11.30 pagi dan cedera. Beliau kini dirawat di hospital tentera. Keadaannya stabil,” katanya tanpa memperincikan butiran lanjut.
Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab melakukan serangan terbabit setakat ini.
Di seluruh Myanmar, berlaku pembunuhan hampir setiap hari membabitkan pegawai junta peringkat rendah atau pemberi maklumat, dengan butiran yang masih samar dan disusuli tindakan balas pantas daripada tentera.
November lalu, seorang eksekutif tertinggi dari Mytel, pengusaha telekomunikasi antara tentera Myanmar dan Viettel yang dikendalikan oleh tentera Vietnam, ditembak mati di luar rumahnya di Yangon.
Pada Ahad, Bank Pusat Myanmar mengarahkan pertukaran asing yang diperoleh oleh rakyat tempatan mesti disimpan di bank berlesen dan ditukar dengan mata wang kyat tempatan dalam satu hari bekerja, di mana mereka yang gagal mematuhinya akan menghadapi tindakan undang-undang.
Ekonomi negara Asia Tenggara itu berada dalam keadaan kacau bilau sejak rampasan kuasa, dengan junta melakukan kawalan lebih ketat ke atas kemasukan mata wang asing yang terhad.