Will Smith letak jawatan daripada Akademi Filem

Will Smith letak jawatan daripada Akademi Filem

Will Smith berkata beliau akan bertanggungjawab sepenuhnya atas perbuatannya.

Pengunduran Will Smith dibuat hampir seminggu selepas beliau menampar Chris Rock kerana tersinggung dengan jenaka pelawak itu mengenai isterinya, Jada Pinkett Smith. (Gambar AFP)
HOUSTON:
Will Smith pada Jumaat meletak jawatan daripada Akademi Seni dan Sains Motion Picture selepas insiden menampar pelawak Chris Rock ketika anugerah Oscar hujung minggu lalu, lapor Agensi Anadolu (AA).

“Saya akan bertanggungjawab sepenuhnya atas perbuatan saya.

“Tindakan saya ketika penyampaian Anugerah Akademi ke-94 adalah mengejutkan, menyakitkan dan tidak boleh dimaafkan,” kata Smith dalam satu kenyataan.

Pengunduran Smith dibuat hampir seminggu selepas beliau menampar Chris Rock kerana tersinggung dengan jenaka pelawak itu mengenai isterinya, Jada Pinkett Smith.

“Saya mengkhianati amanah Akademi. Saya menutup peluang calon dan pemenang lain untuk meraikan dan diraikan kerana pencapaian luar biasa mereka,” katanya.

Lembaga pengelola Akademi mengadakan mesyuarat tergempar minggu ini bagi memulakan proses semakan rasmi, dengan kemungkinan Smith berdepan penggantungan atau penyingkiran.

Meskipun telah meletak jawatan, Akademi masih boleh menarik semula Oscar yang dimenang Smith menerusi watak Raja Richard .

Lembaga Akademi akan bermesyuarat sekali lagi pada 15 April.

“Saya akan menerima apa jua keputusan selanjutnya oleh Lembaga Pengarah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.