Kanak-kanak 6 tahun antara mangsa pemerdagangan orang di Songkhla

Kanak-kanak 6 tahun antara mangsa pemerdagangan orang di Songkhla

Mereka antara 39 daripada 61 keseluruhan warga Myanmar yang ditahan di Hat Yai, Jumaat lalu.

Penolong Ketua Polis Negara Surachate Hakparn, berkata siasatan awal mendapati kira-kira 400 warga Myanmar telah dibawa masuk ke Thailand sebelum dihantar ke Malaysia. (Gambar Facebook)
SONGKHLA:
Polis Thailand mengesahkan 39 orang termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun daripada semua 61 warga Myanmar yang ditahan di Hat Yai Jumaat lalu adalah mangsa pemerdagangan manusia.

Penolong Ketua Polis Negara, Surachate Hakparn, berkata kumpulan warga Myanmar itu ditahan di sebuah pusat peranginan di Hat Yai, Songkhla pada 25 Mac.

“Siasatan mendapati 39 daripadanya menjadi mangsa pemerdagangan manusia termasuk 26 Rohingya berusia antara enam hingga 17 tahun.

“Selain itu, 22 daripada 61 itu adalah pendatang tanpa izin. Kesemua mereka telah memasuki Thailand dan dalam perjalanan ke Malaysia,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Sempadan Daerah Sadao, Songkhla.

Surachate berkata, kesemua 61 warga Myanmar dijangka dihantar pulang ke negara asal selepas proses siasatan dan dokumentasi selesai.

“Pendatang asing tanpa izin akan didakwa dan dihantar pulang ke negara asal manakala siasatan lanjut akan dijalankan ke atas mangsa pemerdagangan manusia bagi mengesan dalangnya,” katanya.

Surachate berkata, siasatan awal mendapati kira-kira 400 warga Myanmar telah dibawa masuk ke Thailand sebelum dihantar ke Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.