
Kajian Schell Centre mewakili Fortify Rights dan Sekolah Undang-undang Yale, mendedahkan perkara itu selepas satu siasatan bersama, berkata kepemimpinan junta mengerahkan penembak hendap untuk membunuh peserta demonstrasi.
Katanya, langkah itu dibuat bagi mencetuskan ketakutan dalam kalangan orang ramai, malah tentera diarahkan mendalangi jenayah.
Mereka juga diberi buku panduan tindakan di lapangan yang langsung tidak menyentuh mengenai peraturan atau garis panduan ketika peperangan.
Laporan penyiasatan setebal 193 halaman yang dikeluarkan hari ini, antara lain memuatkan analisis terhadap dokumen bocor dan 128 perakuan daripada pelbagai sumber.
Antaranya termasuk mangsa, petugas perubatan, saksi dan bekas tentera serta pegawai polis yang ada kaitan dengan pergolakan di Myanmar dalam tempoh enam bulan selepas rampasan kuasa pada 1 Februari tahun lalu.
Penyiasat berkata, mereka memperoleh dan mengesahkan memo dalaman kepada polis yang mengarahkan pihak penguat kuasa menangkap peserta demonstrasi, aktivis dan anggota bekas kerajaan terdahulu.
Ketua Fortify Rights, Matthew Smith, turut mendedahkan perakuan atau maklum balas dalam kalangan mangsa yang mengalami penderaan dan segala bentuk penindasan.
“Semua individu yang bertanggungjawab di sebalik jenayah ini perlu dikenakan sekatan dan dihukum.
“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu mengenakan sekatan penyaluran senjata ke Myanmar dan mengambil tindakan perundangan antarabangsa terhadap ketua tentera junta,” katanya.
Jurucakap tentera Myanmar bagaimanapun tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap butiran laporan yang didedahkan.
Laporan penyiasatan itu bakal menambah tekanan terhadap tentera Myanmar bagi menghentikan keganasan menyasarkan peserta demonstrasi selain penggunaan serangan udara dan tindakan mengepung kawasan orang awam.
Dokumen itu dikeluarkan sehari selepas laporan PBB dimuktamadkan mengenai tentera Myanmar yang bertanggungjawab terhadap jenayah perang dan kemanusiaan.
Tentera junta setakat ini tidak memberikan sebarang maklum balas, namun menafikan rangkaian dakwaan berhubung kemusnahan yang tercetus di negara terbabit, dengan menyifatkannya sebagai tidak berasas.
Laporan dinamakan ‘Nowhere is Safe’ (Tiada Tempat Selamat) itu juga mengenal pasti 61 tentera dan komander polis yang menurut penyelidik, wajar disiasat kerana mendalangi jenayah kemanusiaan, bersandarkan sumber pasukan keselamatan berhubung arahan yang diberikan.
Antara yang dipetik dalam laporan itu ialah enam pegawai tentera yang masih aktif bertugas, termasuk seorang kolonel dan dua mejar.
Penyelidik berkenaan berkata mereka berjaya mengenal pasti lokasi lebih 1,000 unit tentera ketika serangan dilakukan, sekali gus berupaya membantu pasukan pendakwa untuk mengesan dalang di sebalik rangkaian jenayah.
Jelasnya, arahan khas terbaru Ketua Junta, Min Aung Hlaing, di Naypyidaw dilaksanakan empat jeneral tertingginya, selain tiada individu lain dibenarkan membuat keputusan mengenai sebarang operasi tentera yang dikerahkan ke kawasan bandar dan kota.
“Tanpa sebarang usaha untuk menghentikan keganasan dan mengheret tentera junta yang bertanggungjawab di sebalik pelbagai jenayah sehingga ke hari ini, sudah pasti junta akan terus menghukum pihak lawannya.
“Selain membunuh orang awam, junta meranapkan aspek sosial, kesihatan dan kebajikan ekonomi Myanmar,” kata felo Schell Center, Roger Polack.