
Amaran tsunami turut tidak dikeluarkan memandangkan gempa bumi awal pagi tadi dicatatkan pada bawah magnitud 7.0.
Agensi Tinjauan Geologi AS (USGS) pada awalnya membuat anggaran magnitud pada 6.9, namun kemudian menurunkannya kepada 6.7.
Ia juga menyemak semula laporan awal kedalaman gempa daripada 10km kepada 24km.
Gempa bumi ini melanda pantai timur Taiwan tetapi dirasai di sebahagian besar pulau itu, lapor AFP.
Chen Chi-mai, Datuk Bandar Kaohsiung di selatan Taiwan berkata di Facebook, pusat gempa berada di laut di luar pantai Hualien.
Orang ramai menerima amaran dikeluarkan kerajaan menerusi telefon bimbit, dan ramai yang melaporkan di media sosial mengenai kesan gegaran yang dirasai, malah ada yang memuat naik video mengenainya.
“Lampu ‘chandelier’ di siling rumah saya berayun-ayun selama lebih tiga minit tanpa henti,” kata seorang wartawan tempatan di Facebook.
Kerajaan tempatan di Hualien berkata, gempa berlaku berhampiran bandarnya, yang menjadi tumpuan pelancong.
“Gempa bumi dirasakan di seluruh Taiwan,” katanya dalam catatan di akaun Facebook rasminya.
“Jangan panik jika terdapat gempa susulan dan kami menggesa penduduk bersedia mengelak bencana.”
Biro cuaca pusat Taiwan berkata, gempa asal berukuran magnitud 5.4 berlaku pada 1.06 pagi.
Ia disusuli gempa berukuran magnitud 6.6 pada 1.41 pagi, dan dua minit kemudian, gempa susulan berukuran magnitud 6.1, lapornya.
Taiwan sering dilanda gempa bumi kerana pulau itu terletak berhampiran persimpangan dua plat tektonik.