
Putin “sedang terdesak dan beliau menegaskan bahawa AS mempunyai senjata biologi serta kimia di Eropah, (yang) sama sekali tidak benar,” kata Biden pada satu acara.
“Mereka turut mencadangkan bahawa Ukraine mempunyai senjata biologi dan kimia. Itu petanda jelas beliau sedang mempertimbangkan untuk menggunakan kedua-duanya.”
Kedutaan Rusia di Washington tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.
Kenyataan itu mengulangi komen terdahulu oleh pegawai di Washington dan negara-negara bersekutu, yang menuduh Rusia menyebarkan dakwaan tanpa bukti bahawa Ukraine mempunyai program senjata biologi sebagai kemungkinan permulaan kempen serangan biologi atau kimianya sendiri.
Kementerian Pertahanan Rusia mendakwa Kyiv, juga tanpa bukti, merancang serangan terhadap rakyatnya sendiri untuk menuduh Moscow menggunakan senjata kimia dalam pencerobohan ke atas Ukraine yang bermula pada 24 Feb.
Awal bulan ini, penasihat keselamatan negara AS Jake Sullivan memberi amaran kepada Nikolay Patrushev, setiausaha Majlis Keselamatan Rusia, mengenai akibat terhadap “sebarang kemungkinan keputusan Rusia untuk menggunakan senjata kimia atau biologi di Ukraine”. Bagaimanapun, Rumah Putih tidak memberi sebarang butiran mengenai akibat yang dimaksudkan.
Pencerobohan Rusia, yang digelar sebagai “operasi ketenteraan khas” untuk melucutkan senjata Ukraine, sebahagian besarnya terhenti, gagal menawan mana-mana bandar utama, namun menyebabkan kemusnahan besar-besaran terhadap kawasan kediaman.
Ukraine berkata semalam, ia tidak akan mematuhi kata dua daripada Rusia selepas Moscow menuntut ia berhenti mempertahankan Mariupol yang terkepung, di mana ratusan ribu orang awam menderita akibat pengeboman Rusia.