Bank Dunia lulus dana tambahan USD200 juta untuk Ukraine

Bank Dunia lulus dana tambahan USD200 juta untuk Ukraine

Dengan pembiayaan terkini, bank itu telah menyediakan lebih USD925 juta sebagai sokongan untuk Ukraine.

Krisis yang sedang berlaku menyebabkan kos kemanusiaan yang tinggi, menurut Presiden Kumpulan Bank Dunia, David Malpass. (Gambar AP)
ANKARA:
Bank Dunia pada Isnin mengumumkan meluluskan hampir USD200 juta pembiayaan tambahan untuk perkhidmatan sosial Ukraine membantu golongan rentan.

Dengan pembiayaan terkini, bank itu telah menyediakan lebih USD925 juta sebagai sokongan untuk negara itu, lapor Agensi Anadolu.

“Ini adalah tambahan kepada USD723 juta yang diberi untuk Ukraine dan rakyatnya minggu lepas, dengan USD350 juta telah pun disalurkan kepada Ukraine,” menurut kenyataan Bank Dunia.

Pembiayaan itu adalah sebahagian daripada pakej sokongan USD3 bilion yang diumumkan bank itu untuk membantu Ukraine dalam beberapa bulan akan datang.

Sebagai sebahagian daripada usaha mobilisasi, Austria menyumbang 10 juta euro (USD11 juta) kepada Dana Amanah Pelbagai Derma (MDTF) yang ditubuhkan Bank Dunia untuk memudahkan penyaluran sumber geran penderma ke Ukraine.

“Krisis yang sedang berlaku menyebabkan kos kemanusiaan yang tinggi dan mewujudkan jurang pembiayaan yang menjejaskan keupayaan golongan rentan di Ukraine untuk mendapatkan keperluan asas,” kata Presiden Kumpulan Bank Dunia, David Malpass.

Krisis Rusia-Ukraine, yang bermula pada 24 Feb, telah mengundang kecaman antarabangsa, membawa kepada sekatan kewangan ke atas Moscow dan mendorong firma global keluar dari Rusia.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sejak itu sekurang-kurangnya 636 orang awam terbunuh dan 1,125 cedera manakala kira-kira 2.8 juta orang melarikan diri ke negara jiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.