
Pemilik Chelsea itu antara tujuh oligark yang dikenakan sekatan minggu ini oleh UK susulan serangan Rusia terhadap Ukraine.
Pasukan itu dikenakan syarat ketat susulan sekatan terhadap Abramovich. Antaranya, Chelsea tidak dapat mengambil pemain, membaharui kontrak atau menjual tiket perlawanan malah jumlah wang yang boleh dibelanjakan bagi perjalanan ke perlawanan di lokasi lain juga dihadkan.
Terbaru, ketua-ketua Liga Perdana telah mengambil tindakan terhadap Abramovich yang disifatkan sebagai sebahagian daripada golongan dalaman Presiden Rusia Vladimir Putin. Abramovich menafikan dakwaan itu.
“Susulan sekatan oleh kerajaan UK, lembaga Liga Perdana membatalkan Roman Abramovich sebagai pengarah Chelsea Football Club,” kata kenyataan hari ini.
“Keputusan lembaga tidak menjejaskan keupayaan kelab melatih dan bermain seperti diperuntukkan terma lesen dikeluarkan kerajaan, yang luput pada 31 Mei 2022.”
Abramovich telahpun mengumumkan perancangannya menjual Chelsea, dengan pelbagai pembeli menyuarakan minat membeli kelab yang berjaya mengaut 19 piala sejak beliau membelinya pada 2003.
Kerajaan masih terbuka untuk penjualan itu tetapi perlu meluluskan lesen baharu dengan syarat Abramovich tidak menerima untung.
Chelsea sudah mula merasai kesan sekatan itu, termasuk beberapa kad kredit dibekukan semalam dalam pada kelab itu merunding terma lesen pengoperasiannya dengan kerajaan.