Anggota polis Australia bebas tuduhan bunuh remaja orang asli

Anggota polis Australia bebas tuduhan bunuh remaja orang asli

Juri di Darwin mendapati Zachary Rolfe tidak bersalah membunuh Kumanjayi Walker, 19, selepas memutuskan tiga tembakan dilepaskan anggota polis itu pada 9 Nov 2019 adalah tindakan wajar.

Zachary Rolfe bercakap kepada pemberita di luar mahkamah di Darwin, hari ini. (Gambar AP)
SYDNEY:
Seorang anggota polis berpangkat konstabel dibebaskan daripada tuduhan menembak mati seorang remaja orang asli, dalam keputusan yang dikecam hebat keluarga dan komuniti mangsa.

Bilangan kematian masyarakat Aborigine dalam tahanan polis dilaporkan tinggi, namun tidak pernah sekalipun anggota polis Australia disabitkan bagi pembunuhan orang asli negara itu dalam keadaan berkenaan, walaupun selepas menjalani inkuiri awam atau perbicaraan.

Lebih 500 orang Aborigine dan Torres Strait Islander mati dalam tahanan sejak 1991, iaitu ketika rekod mula disimpan. Ini termasuk sekurang-kurangnya 11 kematian dalam tempoh tujuh bulan lalu.

Juri di Darwin mendapati Zachary Rolfe tidak bersalah membunuh Kumanjayi Walker, 19, selepas memutuskan ketiga-tiga tembakan dilepaskan anggota polis itu di sebuah pekan terpencil pada 9 Nov 2019 adalah tindakan wajar.

Rolfe juga didapati tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat bunuh, serta tindakan ganas yang mengakibatkan kematian.

Keluarga dan anggota komuniti orang asli mangsa meraung dan menangis di luar mahkamah di Darwin itu susulan keputusan sebulat suara itu diumumkan.

“Kami amat sedih dengan keputusan ini, tiada kata-kata dapat menggambarkan kesedihan kami,” kata sepupu Walker, Samara Fernandez-Brown kepada pemberita.

“Kami terlalu kecewa, dan walaupun kes ini telah melalui perbicaraan saya tidak dapat menganggapnya benar-benar adil,” katanya dengan menegaskan keluarga itu tidak akan berputus asa mendapatkan keadilan.

Sementara itu, Rolfe memberitahu pemberita di luar mahkamah, beliau lega dengan keputusan itu.

“Sudah pasti saya menganggapnya keputusan yang tepat, tetapi ramai yang bersedih hari ini khususnya keluarga dan komuniti Kumanjayi,” katanya.

Lebih 40 saksi memberi keterangan sepanjang perbicaraan itu, yang antara lain bagi menentukan sama ada Rolfe bertindak sewajarnya menembak mangsa tiga kali ketika cuba menahannya kerana melanggar syarat jaminan.

Pendakwaan berhujah Walker telahpun tidak berupaya melawan apabila ditembak kali pertama. Mangsa ketika itu juga sedang bergelut dengan anggota polis lain dan bersenjatakan gunting.

Dua tembakan yang menyusul disifatkan keterlaluan dan bertentangan dengan latihannya sebagai anggota polis.

Juri bagaimanapun memihak kepada pembelaan yang berhujah Rolfe bimbangkan keselamatan diri serta rakannya memandangkan Rolfe menggunakan senjata tajam.

Remaja itu telah menyerang anggota polis lain menggunakan kapak beberapa hari sebelumnya.

Kejadian itu turut dirakam kamera badan yang dipakai Rolfe.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.